Thursday 24 August 2017

Imam Besar Soal Kenapa Hafiz Lambat Bubar Nikah


IMAM Besar Masjid Tuanku Zainal Abidin, Putrajaya iaitu Ustaz Hazaruddin Baharuddin menegur tindakan Hafiz Hamidun yang lambat membubarkan pernikahannya dengan Joy Revfa.

Kata Hazaruddin, Hafiz sepatutnya mengambil tindakan segera selepas berasa curiga terhadap pernikahannya dengan Joy atau nama sebenarNya Siti Arifah Mohd Amin, tanpa perlu menunggu masa lebih tiga bulan.

“Faraq bermaksud perkahwinan yang dibubarkan melalui talak atau selain daripadanya, namun dalam sistem perundangan Islam di Malaysia, faraq merujuk kepada pembubaran bukan melalui talak.

“Faraq hanya diputuskan oleh mahkamah apabila terbukti sesuatu perkahwinan tidak sah, apa yang dimaksudkan tidak sah ialah hilang salah satu syarat sah nikah.

“Dalam kes Hafiz Hamidun, dia seharusnya mengambil tindakan itu sejurus selepas timbul rasa was-was terhadap perkahwinan bukan sudah separuh jalan sehingga timbul pertikaian baru nak bertindak,” ujarnya kepada mStar Online.

Hazaruddin turut mengulas tentang isu rumah tangga Hafiz dan Joy Revfa yang dikatakan tidak sah apabila usahawan kosmetik berkenaan gagal memberikan surat cerai perkahwinan pertamanya selepas mereka berkahwin pada 1 Mei lalu.

Oleh kerana Hafiz mula meragui perkahwinan mereka sebagai tidak sah dan enggan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami, Joy telah memfailkan tuntutan faraq pada Jumaat, 17 Ogos di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Sementara itu, mengenai tindakan Hafiz yang mengambil keputusan untuk menjauhi isterinya itu, Hazarudiin berpendapat tempoh masa yang agak lama diambil oleh penyanyi itu juga tidak adil buat isterinya.

Selain itu, apa yang menjadi kebimbangan adalah jika perbuatan Hafiz membubarkan perkahwinannya itu menjadi ikutan golongan yang tidak menghormati kesucian ikatan pernikahan.

“Dia seorang selebriti, apa yang dia lakukan akan menjadi ikutan masyarakat. Apa yang kita bimbang perkara seperti ini menjadi ikutan oleh orang lain yang ingin bercerai cara mudah,” ujarnya.

Hafiz dan Joy Revfa diijab kabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.

Joy pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments