Tuesday 22 August 2017

Joy Revfa Belum Bercerai Masa Nikah Hafiz


SEPERTI satu igauan ngeri, kini semakin bertubi-tubi dugaan hadir dalam perkahwinan penyanyi Hafiz Hamidun dan isterinya, Joy Revfa.

Mengeruhkan lagi keadaan, tular sejak semalam (Isnin) di media sosial apabila surat cerai Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, dengan bekas suaminya tersebar.

Menerusi surat yang dipercayai dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla Thailand, tarikh perceraian perkahwinan pertama itu adalah pada 13 Julai lalu.

Perkara ini sekali gus menjelaskan secara teknikalnya Joy masih bergelar isteri orang ketika berkahwin dengan Hafiz pada 1 Mei lalu.

Secara tidak langsung juga, surat itu menjelaskan permasalahan sebenar yang berlaku dalam perkahwinan pasangan itu.

Minggu lalu, Joy memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di Subang Bestari, Shah Alam pada Jumaat lalu selepas mendakwa Hafiz meragui status pernikahan mereka.

Sehubungan itu, Hafiz, 33, menerusi Instagram miliknya pada malam Isnin memberitahu akan memberi kenyataan berhubung isu itu pada hari ini (Selasa).

Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.

Joy merupakan ibu kepada seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun, hasil perkahwinan terdahulu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments