Tuesday 22 August 2017

RapidKL Jejak Gadis Baik Hati, Angeline


BARU-BARU ini tular di laman sosial mengenai satu gambar gadis yang sedang mengelap lantai tren Transit Aliran Massa (MRT) akibat ada seorang lelaki yang tertumpahkan airnya.

Gadis yang hanya dikenali dengan nama Angeline mengelap kesan tumpahan air tersebut menggunakan tisu bagi mengelakkan kesan lekit air manis berkenaan.

Kisah ini menjadi tular apabila seorang lelaki bernama Mohd Faiz Muhamad Daud telah berkongsi satu posting di laman sosialnya. Disebabkan posting tersebut pihak RapidKL meminta netizen untuk menjejaki gadis baik hati ini.

Menerusi laman Facebook rasmi RapidKL, pihak berkenaan ingin berjumpa dengan Angeline dan meminta bantuan netizen untuk merealisasikan hasrat itu.


“Netizen, kami perlu bantuan anda. Kami mahu cari insan baik hati yang menaiki tren MRT. Kami perlukan kepakaran anda untuk mencari dia secara dalam talian dan hubungkan kami dengannya,” tulis RapidKL di Facebooknya.

Menurut Faiz, seorang lelaki telah tertumpahkan air dalam tren berkenaan dan menyapu tumpahan itu menggunakan kertas. Selepas lelaki itu keluar dari tren, Angeline pula mengelap kesan tumpahan tersebut dengan tisu.

“Memang tak jangka dia akan lap. Bila tanya dia kenapa buat macam tu, dia cakap nanti ada kesan melekit air manis kan.

“Nama dia Angeline. Patut bagi penghargaan sebab tak ramai orang yang mampu melakukannya,” kata Faiz dipetik laporan mStar Online.

Namun begitu, Faiz hanya mengetahui nama gadis tersebut dan tidak mempunyai maklumat lain selain mengetahui gadis itu turun di Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn.

Hasil perkongsian posting RapidKL itu, seorang pengguna Facebook bernama Uwen Yap menyatakan Angeline tidak lagi mengaktifkan akaun Facebooknya selepas mendapat perhatian netizen.

“Dia masih belum memutuskan untuk tampil tetapi akan menghubungi RapidKL secara peribadi sekiranya dia telah bersedia,” kata Uwen Yap yang juga merupakan rakan kolej gadis itu kepada mStar Online.

Menurut mStar Online lagi, Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Azhar Ghazali sedang giat mengumpul maklumat berkaitan Angeline.

Rasa-rasanya semua netizen perlu ada sifat prihatin dan tanggungjawab seperti ini supaya Malaysia kekal bersih. Semoga sikap macam ni menjadi ‘virus’ yang akan berjangkit kepada semua orang. Jasamu dikenanglah Angeline! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments