Thursday 31 August 2017

Imej Bibir Swarovski Wanita Ini Jadi Parodi Netizen


JAKARTA – Gaya bibir bertatahkan swarovski Anniesa Hasibuan ini asalnya agak unik namun kini menjadi bahan jenaka netizen Indonesia sehingga ramai membuat parodi meniru wanita tersebut.

Menurut portal tempatan dream.co.id, pengguna sosial media republik itu mulai sibuk memuat naik foto-foto diri mereka yang mengajuk gaya pereka busana Muslim terkenal itu dengan pelbagai gaya lucu berbaur sindiran.

Mereka tidak menggunakan batu kristal swarovski yang tentunya mahal harganya tetapi ditukar dengan bahan murah termasuk penggunaan beras atau tepung roti untuk menghias bibirnya seumpama wajah Anniesa.

Foto-foto parodi itu turut disertakan dengan keterangan yang berunsur jenaka sehingga menjadi tular dalam kalangan netizen Indonesia sebagai merujuk sikap wanita berkenaan sering menayangkan kemewahan dirinya.


Salah seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Budi Aswin memuat naik foto seorang perempuan berhijab yang meniru gaya solekan Anniesa itu tetapi dengan hanya menempelkan butiran beras pada bahagian bibirnya.

Manakala seorang lagi netizen dengan nama Kennis Sikecil Vixioner’s Blackyel dari Singapura pula tampil lebih kreatif menyindir gaya dandanan mewah bos syarikat pelancongan kontroversi First Travel di Indonesia itu.

Dalam foto itu, seorang perempuan yang menirukan Anniesa dengan mengenakan hijab putih, namun merias mata menjadi lebih menyeramkan serta menggunakan cincin batu akik, yang meniru cincin rubi milik wanita tersebut.

Lucunya, Kennis dikatakan hanya menggunakan tepung roti untuk merias bibirnya sambil kedua-dua matanya terbeliak sebagai sindiran terhadap Anniesa yang dihukum penjara kerana menipu ramai pelanggan miskin.


Meskipun mungkin kelihatan agak biadab, kalangan netizen Indonesia pula mendakwa mereka terhibur dengan bahan jenaka tersebut bahkan ada juga yang tertarik untuk mencubanya dalam versi lain.

Anniesa bersama Andhika Surachman dan Kiki Hasibuan kini dipenjara setelah disabitkan kesalahan atas kes penyelewengan dana pakej umrah yang mereka anjurkan sehingga melibatkan ramai menjadi mangsa penipuan.

Sebelum skandal korupsi itu terbongkar, tiga anggota keluarga ini dilihat sering berlibur mewah ke pelbagai negara di seluruh dunia, malahan rumah yang mereka diami juga dikatakan ibarat sebuah istana eksklusif.

Ramai mengesyaki, gaya hidup kaya yang ditampilkan pemilik label Anniesa Hasibuan menerusi akaun Instagram ini hasil penyalahgunaan wang dari bakal jemaah umrah ditipu mereka. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments