Monday, 22 May 2017

'Petai Papan RM400, Tapi Saya Tak Beli Pun Petai'


SEORANG wanita terkejut apabila dikenakan caj tidak masuk akal sehingga mencecah lebih RM800 ketika membeli barangan asas di sebuah pasaraya, yang tidak didedahkan lokasinya.

Dalam status yang dimuat naik di laman Facebook, Anyss Mohd Auranyss mendakwa walaupun terkejut dengan jumlah tersebut, dia dengan ‘berat hati’ membayar jumlah tersebut menggunakan kad debit.

“First time shopping kt Gxxxx brg xsampai satu troli nilai RM808.60, hanya beli barang dapur kecil-kecil, tiada benda yang besar, bajet paling mahal RM450 sekali kena bayar RM808++, tercenggang,” tulisnya.

Dia yang tidak berpuas hati menyemak semula resit pembayaran dan alangkah terkejutnya selepas mendapati berlaku kesilapan apabila dia dikenakan caj sepapan petai dengan harga RM400.

“Petai papan RM400.36..tudia padahal aku tak beli apa jenis petai pun, mai kot mana dia scan petai, nampak sangat bar cod main tampal ja.

“Saya pergi kaunter khidmat pelanggan dan mereka semak memang ada kesalahan. Mereka kata akan buat pembayaran balik tapi ambil masa satu hingga dua minggu (duit masuk) ke dalam akaun sebab saya bayar guna debit kad. Ya la, mana nak cekau (ada) wang tunai RM800, bawa pun RM500 ja,” tulisnya.

Menerusi postingnya semalam, Anyss berkata, perkara yang membuatkan dia lebih kesal adalah layanan yang diberikan oleh kakitangan pasaraya itu dan proses untuk mendapatkan semula wang yang mengambil masa terlalu lama.

“Kalau kita ada duit tak pa, kalau orang yang betul-betul bajet, perlu duit untuk belanja, macam mana? Senang mereka ni. RM400 tu banyak la, bukan RM4!” tambahnya.

Jelasnya, kesilapan tanda harga turut berlaku kepada pelanggan lain namun disebabkan pelanggan berkenaan membuat bayaran secara tunai, maka proses mendapatkan semula wang boleh diselesaikan dengan lebih cepat.

Susulan itu, dia menasihati pengguna supaya lebih peka dan berhati-hati ketika membuat pembayaran di kaunter bagi mengelakkan berlaku kesilapan tanda harga terutamanya ketika jualan murah.

“Hati-hati semua tambah-tambah masa promosi, harga kat rak lain, bila scan kat kaunter nak bayar (harga) lain. Lain kali kalau rasa pelik dan lari dari bajet yang kita jangka, semak balik,” tulisnya.

Perkongsian status dimuatnaik Anyss bersama resit pembelian mendapat perkongsian lebih 27,000 pengguna Facebook.

Netizen turut meluahkan reaksi pelbagai terhadap insiden tersebut, selain bersetuju dengan pandangan Anyss supaya setiap pelanggan perlu lebih peka ketika membeli-belah bagi mengelakkan tertipu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments