KUALA LUMPUR: Pelaburan besar China di negara ini bukan petanda pemimpin negara akan berlembut dan mengabaikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, rakyat sentiasa memerhati tindakan pemimpin negara selain meminta masyarakat menolak propaganda pihak pembangkang yang sering kali memutarbelitkan isu tersebut demi kepentingan politik mereka.
"Kita yakin bahawa tidak ada kedaulatan negara yang akan dipertaruh apabila menerima pelaburan baik dari China mahupun negara lain.
"Untuk menyatakan bahawa Malaysia hanya menyambut pelaburan China adalah tidak benar, kita hanya tidak mahu tertinggal dalam arus pelaburan yg sedang China lakukan.
"Adalah tidak benar kita hanya melayan permintaan China kerana Malaysia juga cuba turut serta di dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dianjur Amerika Syarikat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan yang erat antara kerajaan bersama badan bukan kerajaan kaum Cina juga mampu menjadi jambatan yang baik dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua pihak sekali gus dapat memajukan lagi masyarakat Cina di negara ini.
Dalam pada itu kata Bastien, walaupun TPPA tidak menjadi kenyataan, Malaysia sudah menunjukkan kesediaan terhadap pelaksanaannya.
"Pemimpin kita terbuka dalam melihat pelaburan dan kerjasama ekonomi dengan mana-mana negara bagi memastikan Malaysia terus pesat.
"Bagaimanapun, Pemuda UMNO tetap akan melihat perkembangan pelaburan yang masuk daripada China ini," jelasnya.
Datuk Seri Najib sebelum ini memberitahu, hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China terus kukuh, dengan jumlah pelaburan China di Malaysia dijangkakan terus meningkat.
Katanya pada 2015, China melabur AS$2 bilion (RM8.4 bilion) di Malaysia dan menjangkakan angka itu akan meningkat berasaskan aliran meningkat dalam pelaburan sejak lima tahun lepas.
Dalam perkembangan berkaitan katanya yang juga Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, mempertahan kedaulatan negara merupakan tanggungjawab pemimpin dan ia telah digalas dengan baik selama ini.
"Contohnya isu pulau Batu Puteh, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali baharu sahaja memfailkan rayuan utk menyemak semula keputusan yang dibuat hampir sepuluh tahun dahulu. Sudah tentu ianya memerlukan bukan sahaja penilitian tetapi keberanian.
"Untuk Malaysia memulakan usaha ini terhadap negara jiran yang bersahabat adalah bukti bahawa apabila ianya menyentuh soal kedaulatan negara, pemimpin kita tidak akan tunduk.
"Oleh yg demikian, tidak timbul soal tunduk kepada negara besar walau China sekalipun," jelasnya.
Ujarnya lagi, ia merupakan perkembangan positif dan Pemuda UMNO Johor akan melihat dengan rapat perkembangan rayuan itu.
"Bayangkan kes yang sudah diputus pun kita tidak teragak-agak untuk mengmukakannya kembali apabila terdapat bukti baru, apatah lagi tuntutan kepulauan Spratly yang masih di peringkat awal.
"Pembangkang hanya tahu beretorik menakutkan rakyat, tetapi kerajaan BN benar-benar melaksanakannya. Walau negara mana pun yang cuba mencabar kedaulatan negara, kita tetap akan berdiri mempertahankannya.
"Pemuda UMNO sentiasa mengingatkan kepimpinan negara bahawa hak rakyat Malaysia tidak akan ada seinci pun tergadai untuk tujuan apa sahaja, baik perhubungan dua hala mahu pun tujuan ekonomi," jelasnya. - Astroawani
No comments:
Write comments