TAWAU: Tragedi bot karam Selasa lalu lambat disedari kerana bot malang itu menggunakan laluan alternatif haram, kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus.
Beliau berkata sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan menyebabkan tragedi itu mengorbankan banyak nyawa.
“Apabila menggunakan laluan haram dan tiba-tiba berlaku kecemasan seperti bot karam, risiko kehilangan nyawa tinggi kerana pergerakan tidak diketahui sekali gus melewatkan usaha menyelamat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau mengulas kejadian sebuah bot yang membawa 15 orang ke Sungai Nyamuk, Indonesia karam namun tragedi hanya disedari 24 jam kemudian.
Mengulas lanjut, Fadil berkata pihak berkuasa sedang mengesan waris dan keluarga mangsa yang berada di sini selain pemilik bot.
Sebelum ini beliau mengesahkan 6 mayat ditemukan terapung di Laut Sebatik oleh pihak berkuasa Indonesia.
Dalam kejadian petang Selasa itu, bot laju yang membawa 15 orang termasuk juragan, karam dipukul ombak besar antara 5 hingga 10 minit selepas meninggalkan jeti Batu Payung pada 5.30 petang.
Dua daripada mangsa, dikenali Budiman Muslimin, 26 dan Hasmida Masaniaga, 24, masing-masing berasal dari Sulawesi, Indonesia berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Pantai Batu Payung. - FMT
No comments:
Write comments