KOTA KINABALU: Mayat wanita berbaju merah dan berseluar hitam ditemui tersangkut di pukat oleh sekumpulan nelayan tempatan di perairan antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga di sini, jam 9.25 pagi tadi.
Mayat berkenaan dikesan di lokasi lapan batu nautika dari barat daya Pulau Mengalum dan 20 batu nautika di Pulau Tiga sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.
Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata identiti mayat masih dikenal pasti dan dijangka tiba di jeti PPM Kota Kinabalu tengah hari ini.
"Proses pengecaman akan dilakukan segera," katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Operasi APMM di sini, hari ini.
Mengulas perkembangan usaha mencari dan menyelamat (SAR) hari ini, beliau berkata, jarak keluasan pencarian operasi memasuki hari kelapan itu membabitkan 1,600 batu nautika di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei.
"Kita juga akan meminta bantuan nelayan melakukan aktiviti memukat dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang, " katanya. - BH Online
No comments:
Write comments