Pekan: Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas ke dalam parit di Kilometer 140 Jalan Kuantan-Rompin berhampiran Merchong di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, anggota terbabit bagaimanapun tidak cedera dan berjaya keluar dari kenderaan berkenaan.
Pengarah JPJ Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, sebelum kejadian anggota berkenaan sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, anggota JPJ berkenaan terserempak dengan dua lelaki menaiki motosikal dengan tidak memakai topi keledar.
"Anggota kita meminta mereka memberhentikan kenderaan berkenaan namun mereka enggan dan terus memecut motosikalnya.
"Kita cuba mengejar suspek sehingga melalui jalan berbatu dan sebaik melalui kawasan selekoh, kenderaan kita gagal dikawal sebelum terbabas dan masuk ke dalam parit di tepi jalan berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Katanya, dua anggota JPJ berkenaan berjaya keluar dari kenderaan itu sambil dibantu penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.
Bagaimanapun Mark berkata, dia masih lagi menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu. - Mymetro
No comments:
Write comments