Thursday 9 February 2017

Dua daripada lima mangsa dipercayai meninggal dunia- APMM

KOTA KINABALU- Dua daripada lima mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam insiden bot karam di perairan Pulau Mengalum pada hari kejadian, kata Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som. 

Mohd. Zubil berkata perkara tersebut telah disahkan menerusi keterangan yang diambil daripada mangsa - mangsa bot yang terselamat. 

“Berdasarkan keterangan dua orang mangsa bot yang terselamat itu, mereka telah mengambil jaket keselamatan daripada dua orang mangsa bot yang dipercayai meninggal dunia pada masa itu dan memberikan kepada mangsa - mangsa lain yang masih hidup,” katanya sambil menambah tiga orang mangsa yang selebihnya termasuklah salah seorang kru anak kapal, Absoy Kasim masih belum diketahui keadaan mereka. 

Beliau berkata demikian semasa taklimat sempena Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ke-13, dekat sini, hari ini. 

Selain itu, Mohd. Zubil berkata pihaknya masih lagi mempergiatkan usaha dalam mencari kelima-lima mangsa yang masih belum ditemui itu sehingga sekarang. 

Mengenai operasi SAR yang masuk hari ke-13 hari ini, Mohd. Zubil berkata sektor pencarian merangkumi kawasan seluas 350 batu nautika persegi. 

Pencarian membabitkan perairan Sabah dan Miri, Sarawak serta Brunei itu melibatkan 11 aset masing - masing 10 buah kapal dan sebuah pesawat. 

Terdahulu, bot pelancong jenis Katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum pada 28 Jan lalu. Oleh Elezebeth Esther/SayangSabah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments