Oleh Lucius Maximus
Rumah yang aku beli baru-baru ini ada ruang tanah sikit. Tak besar mana tapi dalam 2 atau 3 kangkang kera. Aku memang saja beli rumah yang ada ruang tanah sebab aku percaya, setiap manusia yang menghirup oksigen di muka bumi ini perlu menyumbang kembali kepada alam sekitar dengan menanam tumbuhan di ruang tanah mereka. Ini lebih elok dari kau beli rumah dan pantang ada ruang tanah sikit, kau simenkan sampai tak ada sekelumit pun kehijauan di situ.
Tapi masalah asas bila kau ada ruang tanah ini adalah, bila ianya ditumbuhi rumput liar, lebih-lebih lagi rumah baru siap dan kau baru nak pindah masuk. Kena pula kau jenis pencinta alam sekitar macam aku dan tak suka nak guna bahan racun herbisid yang merbahaya kepada alam sekitar.
Usah gelabah, kalau tak suka guna racun herbisid macam paraquat, boleh buat herbisid organik sendiri dengan menggunakan bahan asas yang ada kat rumah. Kau hanya perlukan cuka masakan dan sabun pencuci pinggan. Juga alat penyembur supaya senang kerja kau.
Tuang cuka masakan itu dalam alat penyembur dan titiskan 3 atau 4 sudu besar sabun pencuci pinggan. Kemudian kau sembur sepuas hati.
Cuka masakan mengandungi asid asetik dan asid asetik ini sangatlah tidak sesuai dengan kebanyakan jenis tumbuhan. Sabun pencuci pinggan tadi pula bertindak sebagai ejen pelekit yang memastikan cuka kau sembur tadi melekat elok pada tumbuhan tersebut.
Aku sembur sekali sahaja dan seminggu kemudian bila aku datang kembali, rumput liar yang hijau tadi dah jadi coklat (mati). Kerja kau seterusnya adalah bawa keluar cangkul dan kerjakan semua rumput mati itu. Tak susah mana pun sebab selepas seminggu akar rumput pun dah kering dan mudah dicabut. Tak payah panggil Bangla datang meracun dan cabut rumput.
Lebihan cuka kau boleh guna untuk buat ikan masak cuka dan lebihan sabun pencuci kau guna untuk cuci pinggan (jangan kau belasah campur dalam ikan masak cuka pula). Selesai. - The Reporter
No comments:
Write comments