Thursday 2 February 2017

Mengapa kenderaan model terbaru mudah 'sakit'?

Pernahkah anda mengalami masalah dengan kenderaan yang baru dibeli tidak sampai setahun?

Adakah kenderaan anda kembali normal selepas dihantar ke pusat servis kenderaan?

Adakah anda yakin untuk menggunakan kenderaan bermasalah tersebut selepas beberapa kali masuk bengkel terutama jika berkaitan dengan masalah brek!

Kami daripada persatuan pengguna telah menerima banyak aduan sebegini baru-baru ini, terutama aduan yang melibatkan masalah brek daripada kenderaan nasional model terbaru!

Lebih mengejutkan, kenderaan tersebut telah mula menunjuk “perangai sebenar” selepas sebulan penggunaannya.

Masalah ini tidak sepatutnya berlaku untuk kenderaan yang baru keluar dari “oven”. Masalah brek terutamanya merupakan masalah yang tidak boleh ditolak ansur kerana ia boleh mengancam nyawa pengguna.

Tidakkah ia mendatangkan kerugian yang besar kepada pemilik kenderaan terbabit yang perlu “membela” kenderaan yang bermasalah dengan pinjaman bank yang bertahun-tahun?

Kenderaan yang dibeli diharap dapat berbakti dan melancarkan perjalanan tetapi telah mendatangkan masalah pula kepada pemilik kenderaan terbabit.

Dengan masalah ekonomi yang semakin tenat, bukan perkara yang mudah terutama untuk pengguna yang berpendapatan rendah untuk “trade in” kereta bermasalah ini melainkan jika kenderaan mereka yang “sakit” ini dapat ditukar dengan kenderaan yang baru, yang bebas “penyakit”.

Selain itu, terdapat perkara yang meragukan pihak kami apabila kertas laporan hasil penyiasatan aduan hanya dikeluarkan oleh pihak pengeluar kenderaan tanpa melibatkan mana-mana badan yang bebas untuk mengesahkan hasil penyiasatan tersebut.

Mustahil untuk pihak pengeluar kenderaan mengeluarkan kertas laporan tersebut kerana mereka juga merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam proses pembuatan kenderaan tersebut.

Oleh sebab itu, pentingnya sebuah badan yang bebas untuk terlibat dalam penyiasatan tersebut supaya kertas laporan yang dikeluarkan tidak akan berat sebelah.

Untuk pengetahuan, Malaysia telah berjaya menerbitkan Malaysian Standard Consumer Product Safety and Recall- Guidance in the supply chain (MS 2626:2016) pada September tahun lepas.

Pihak-pihak yang berkaitan boleh menggunakan MS 2626:2016 sebagai bahan rujukan dalam pengurusan pengeluaran produk pengguna yang lebih selamat dari peringkat awal sehingga ke penjualan produk di dalam rantai bekalan.

Objektif keseluruhan bagi panduan tersebut adalah untuk menghasilkan produk pengguna yang lebih selamat supaya dapat mengurangkan risiko keselamatan produk untuk pengguna, mengurangkan risiko penarikan balik oleh pihak pengeluar, menyediakan pengguna dengan maklumat yang diperlukan untuk membuat pemilihan penggunaan produk yang selamat, dan membantu kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan produk kepenggunaan.

Diharap pihak-pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah kereta yang dihadapi oleh pengguna-pengguna Malaysia secara adil dan saksama supaya nasib mereka terbela dengan tindakan yang sewajarnya.

Berat lagi mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. - Malaysiakini

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments