Tuesday, 21 February 2017

Lagi kes menyamar sebagai anggota polis dicekup di Sarawak


KUCHING: Dua lelaki ditahan hari ini kerana disyaki menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kedua-dua rakyat tempatan ini dicekup orang awam sekitar jam 11.30 pagi tadi di Lorong Haji Babel, Kampung Semariang, di sini setelah cuba menipu dan merompak dua pekerja warga Indonesia.

“Kedua-dua suspek cuba meminta passport dan duit tetapi mangsa enggan menyerah dokumen miliknya.

“Suspek kemudian bertindak melakukan pemeriksaan ke atas rumah mangsa dan cuba melarikan seunit radio dan seutas gelang.

Menyedari mereka dirompak, mangsa menjerit hingga mengejutkan penduduk kampung yang berada berhampiran dan kemudian berjaya memberkas suspek dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua suspek kata Abang Ahmad, merupakan lelaki Melayu yang berusia 36 dan 43 tahun dari Kampung Gita Laut, dekat sini.

“Polis turut merampas sebuah motosikal, sebilah senjata kerambit, satu set radio, satu set pengerudi ringan dan seunit telefon bimbit.

“Kedua-dua suspek yang kemudian didapati positif dadah jenis syabu akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai pegawai polis, memiliki senjata dan memeras ugut. – Sarawakvoice




    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments