Sungai Petani: Polis mengesahkan lelaki yang membakar bilik sewanya di rumah kedai dua tingkat di Kampung Raja, Jalan Kuala Ketil, di sini, sebelum terjun melalui tingkap petang tadi, positif dadah jenis morfin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, hasil ujian air kencing ke atas suspek berusia 39 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis itu.
Menurutnya, pemilik rumah berusia 30-an terbabit juga sudah tampil membuat laporan polis dan akibat kejadian itu dia kerugian RM4,000.
"Siasatan awal pemilik rumah terbabit memberitahu penyewanya di tingkat atas membuat bising di dalam bilik disewanya.
"Suspek juga dalam keadaan mabuk sebelum penyewa di tingkat bawah menghubungi pemilik rumah dan memberitahu suspek membakar biliknya," katanya dalam satu kenyataan media tadi.
Md Zukir berkata, bagaimanapun kebakaran itu berjaya dipadam pihak bomba dan suspek ditahan.
"Suspek menyewa di rumah itu selama tiga bulan dan tinggal seorang diri.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.
Harian Metro Online hari ini melaporkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak membakar bilik sewanya di lokasi terbabit sebelum terjun melalui tingkap.
Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, lelaki itu bagaimanapun berjaya ditahan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum menyerahkannya kepada polis.
Difahamkan lelaki terbabit bertindak membakar biliknya selepas mendakwa bilik itu dihuni 'hantu'. - Mymetro
No comments:
Write comments