KUALA LUMPUR: Pengembangan China dan pelaburan strategiknya di pentas antarabangsa tidak seharusnya dilihat sebagai satu ancaman.
Walaupun begitu, setiap inisiatif geopolitik dan ekonomi negara Tembok Besar itu seharusnya diambil secara strategik dan berhati-hati oleh negara terlibat.
Felo Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata China tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjajah negara-negara Asia lain seperti yang dibimbangkan sesetengah pihak.
Wan Ahmad Fayhsal yang diwawancara Hari Ini 8 pada Rabu berkata, inisiatif seperti 'One Belt One Road' hanyalah strategi untuk melindungi kepentingan nasional negara mereka.
"China bukan ancaman yang patut kita bimbangi sebagai kuasa penjajah yang baru. China cuma mahu melindungi kepentingan nasionalnya dan inisiatif seperti 'One Belt One Road' hanya strategi untuk melindungi kepentingan mereka.
"Kita kena faham sejarah dan keadaan geopolitik yang memaksa mereka bertindak agresif. Selama seratus tahun China melalui perang Opium, komunisme di bawah Mao Zedong, kedatangan kuasa Barat dan Jepun," katanya.
Jelasnya kehadiran tentera Amerika Syarikat di Laut China Selatan dan kewujudan negara paksi Asia atau 'Pivot to Asia' yang dicadangkan mendiang Lee Kuan Yew untuk mengimbangi pengaruh China, menyebabkan negara itu bertindak agresif dalam mencapai objektif strategik yang menghubungkannya dengan sumber asli seperti Timur Tengah dan pelaburan pelabuhan di Sri Lanka dan Melaka," katanya.
Namun begitu negara seperti Sri Lanka yang terlibat dengan 'One Belt One Toad' kini menanggung bebanan hutang yang tinggi.
Selain itu pembatalan perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) oleh presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyebabkan imbangan kuasa dan pengaruh di rantau Asia menjadi berat sebelah.
"Saya secara peribadi amat menyambut baik keputusan Trump membatalkan TPPA. Ini membuka peluang besar kepada China dan sekutunya Rusia melalui Regional Comprehensive Eastern Partnership (RCEP) untuk masuk ke rantau Asia dengan perdagangan lebih besar.
"Ini perkara yang positif kerana ini masanya negara Asia berdikari, cara orang Asia melakukan diplomasi tanpa terpengaruh mana-mana satu blok atau 'unipolar' seperti Amerika Syarikat yang dahulu menetukan segala-galanya termasuk undang-undang kita dan sebagainya.
"Malaysia juga perlu berhati-hati. Kita perlu imbangi mereka bukan dengan membawa musuh mereka tapi rakan yang paling dipercayai China seperti Rusia untuk berunding. Dengan ini Malaysia boleh mengimbangi pengaruh China yang begitu besar di rantau kita," katanya. - Astroawani
No comments:
Write comments