Sunday, 21 May 2017

Melayu Kaum Yang Rasis? – Suhaizan Kayat


KUALA LUMPUR – “Masa aku kecil dahulu aku dibesarkan dalam persekitaran membenci orang Cina dan orang India,” dakwa Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (PAN), Suhaizan Kayat.

Beliau yang berasal dari Johor mendakwa kononnya perkara itu berlaku kerana 90 peratus penduduk di kawasannya membesar adalah Melayu dan sekolahnya 100 peratus pelajar Melayu.

Suhaizan mendakwa beliau bagaimanapun akhirnya sedar bahawa pemimpin Melayu yang jahat kerana mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

“Mereka berlindung disebalik agama dan bangsa untuk melaksanakan agenda jahat mereka. Ini menyebabkan aku sangat benci dengan sentimen kebencian bangsa dan agama,” dakwanya di Facebook pada 18 Mei lalu.

Suhaizan berkata, beliau yakin dengan konsep Lia’aropu (berkenal-kenalan), Rahmatalilaalamin (rahmah untuk semua), wasatiah (kesederhanaan) dan lakum dii nukum waliyadin (tidak mencampuri urusan ibadah agama lain).

Kenyataan beliau itu dikecam sebilangan netizen Melayu dalam ruangan komen Facebook beliau yang mempersoalkan kewajaran Suhaizan membuat dakwaan seperti itu.

Pemilik akaun Muhammad Naim menegaskan, dia turut dibesarkan dalam kawasan 100 peratus Melayu dan belajar di sekolah yang pelajarnya 100 peratus Melayu.

Jelasnya, dia dan rakan-rakannya bagaimanapun tidak pernah dimomok atau dihasut supaya membenci kaum lain dari kecil hingga dewasa oleh masyarakat Melayu di kawasannya.

Justeru, dia membidas Suhaizan mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu memburuk-burukkan kaum sendiri semata-mata mahu memenangi hati bukan Melayu demi politik.

“Jadi saya nak tahu Suhaizan Kayat ni `area’ mana, kampung mana. Agak-agak la nak membodek India dan Cina pun. Kita marah depa bukan sebab bangsa tapi segelintir mereka cuba campur tangan urusan kita. Itu sahaja,” ujar pemilik akaun Facebook tersebut.

Sebilangan netizen Melayu lain turut menegaskan mereka tidak pernah diajar membenci kaum bukan Melayu malah sentiasa dididik masyarakat sekeliling dan pihak sekolah supaya menghormati kaum dan agama lain. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments