Setelah tular dan heboh di laman sosial kerana isteri Ahli Parlimen Kuala Nerus dan juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat menayang hadiah kereta mewah Audi Q7 yang diterima daripada suaminya, Khairuddin Aman Razali akhirnya tampil memberi penjelasan.
Ketua penerangan Dewan Ulama PAS itu hari ini dilaporkan mempertahankan tindakan itu kerana ia sebahagian daripada haknya.
“Saya ada hak beli apa yang saya mahu. Saya boleh beli lori atau kapal terbang, ini bukan urusan mereka,” beliau dipetik sebagai berkata kepada The Star Online.
Isu itu timbul minggu ini selepas isterinya didakwa memuat naik gambar kereta itu di Facebook dengan status bertulis:
“Kita dapat hadiah kereta dari En Somi”,” tulisnya.
Dengan kereta itu, tambahnya, bolehlah mereka “merayap” (berkunjung) ke rumah kawan-kawan yang ada di sekitar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Khairuddin juga berkata beliau berkemampuan membeli kereta itu dan menggunakan sumber-sumber kewangan yang sah.
Kenderaan baru jenis Audi Q7 itu dilaporkan bernilai kira-kira setengah juta ringgit. Namun idak jelas sama ada ia kereta baru atau dibeli daripada orang lain. Khairuddin dan isterinya juga dilaporkan terlibat dalam perniagaan produk kecantikan.
TETAPI, jawapan yang diberikan Khairuddin sangat-sangat bernada sombong dan tak terlihat langsung seperti jawapan seorang pemimpin Islam yang berjiwa rakyat, apatah dalam masa yang sama juga memegang jawatan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas.
Apakah jawapan yang sebegitu kasar patut diberikan oleh seseorang yang berstatus Ahli Parlimen dan berjawatan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas?
Tidak bolehkah memberi jawapan yang lembut dan berhemah, sesuai dengan status dan jawatan yang disandangnya?
Memanglah tidak salah membeli kereta mewah, lori atau kapalterbang sekali pun, tetapi apakah dibolehkan menunjuk-nunjuk semua pembelian tersebut?
Mungkin tidak menghairankan jika jawapan “saya boleh beli lori atau kapalterbang, itu bukan urusan mereka” dihamburkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO seperti Nazri Aziz, Bung Mokhtar Radin atau Jamal Md Yunus.
Tetapi tentulah terlihat sedikit ganjil apabila pemimpin Pas yang menjaja akhlak Islam ke sana sini dan berjawatan penting pula dalam Dewan Ulama, turut sama berbuat demikian.
Adakah ini tanda-tanda UMNO dan Pas dah hampir-hampir serupa atau penyakit riak, sombong dan suka bermewah yang biasa ada dalam diri pemimpin UMNO sudah mula menjangkiti pemimpin Pas? - Shahbudindotcom
No comments:
Write comments