Presiden Rusia, Vladimir Putin didakwa memiliki kekayaan sebanyak AS$200 bilion (RM891 bilion) sekali gus melayakkan beliau setanding dengan bilionair dunia seperti Bill Gates dan Amancio Ortega.
Mail Online melaporkan, jumlah kekayaan itu termasuk 58 buah pesawat dan helikopter selain 20 buah rumah mewah dan rumah percutian yang dimiliki Putin sepanjang beliau berkuasa selama 17 tahun.
Satu daripada petikan yang paling banyak disebut tentang kekayaan pemimpin berusia 64 tahun itu dibuat oleh penganalisis politik, Stanslav Belkovsky pada 2007 yang menganggarkan kekayaan Presiden berkenaan adalah sebanyak AS$40 bilion (RM178 bilion).
Bagaimanapun, seorang bekas pengurus dana di Rusia, Bill Browder mendakwa, kekayaan sebenar Putin adalah lebih daripada nilai yang diperkatakan.
Portal IBTimes minggu lalu mempersoalkan kekayaan Putin dengan merujuk kenyataan Bowder yang mendakwa Presiden memperoleh sejumlah harta yang banyak sepanjang berkuasa.
“Saya percaya (kekayaan Putin) berjumlah AS$200 bilion, semua wang yang ada dalam hartanah, bank dan saham yang diuruskan untuk Putin dan kroninya,” kata Browder.
Namun Putin tidak disenaraikan dalam individu paling kaya di dunia sejak bertahun-tahun.
Forbes dalam kenyataannya pada 2015 menjelaskan, majalah itu tidak menyenaraikan pemimpin dunia khususnya mereka yang mengumpul kekayaan berdasarkan kedudukan semasa berkuasa.
“Kami menilai aset individu termasuk saham di syarikat swasta dan kerajaan, hartanah, kapal layar, seni dan wang tunai selain mengambil anggaran hutang di samping mendapat nasihat daripada pakar dalam pelbagai bidang,” jelas Forbes. - Utusan
No comments:
Write comments