Friday 17 February 2017

Suami isteri cemas diacu pistol


KAMPUNG RAJA - Pasangan suami isteri yang merupakan pemilik kedai alatan pembinaan terkenal di Jertih, berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol berhampiran kediaman mereka di sebuah rumah kedai, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa berusia 61 tahun bersama isterinya yang mahu memasuki rumah selepas keluar ke kedai berhampiran, didatangi seorang daripada dua lelaki bermotosikal.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, seorang lelaki yang memakai topi keledar dan berpakaian gelap menghampiri mangsa lalu mengugut mereka agar menyerahkan wang sambil mengacukan sepucuk senjata menyerupai pistol.

Menurutnya, suspek berumur sekitar 20 hingga 30-an itu datang menaiki motosikal bersama seorang rakannya yang menunggu di atas motosikal.

“Suspek ugut mangsa agar menyerahkan wang kepadanya. Akibat ketakutan, isteri mangsa menyerahkan beg sandang kepada suspek.

"Suspek turut mengarahkan suami mangsa mengeluarkan semua wang di dalam kocek menyebabkan mereka kerugian dianggarkan antara RM7,000 hingga RM8,000. Suspek selepas itu melarikan diri tanpa mencederakan mangsa," katanya.

Menurut Mohd Zamri, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih dan susulan itu gerakan memburu suspek giat dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata.

Sementara itu, mangsa lebih dikenali dengan panggilan cikgu berkata, kejadian tersebut amat menakutkan dia dan isteri kerana penjenayah mengacukan pistol ke arah mereka.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia sedang menaiki tangga ke tingkat satu di bahagian hadapan rumah kedai berhampiran sebuah pasar raya.

“Saya dengar bunyi bising dekat pintu di bahagian bawah. Bila turun semula, saya nampak seorang lelaki pakai topi keledar sedang mengacu pistol ke arah isteri.

“Suspek mengugut dengan berkata ‘awak sayang duit atau sayang nyawa' menyebabkan kami terpaksa menyerahkan wang kepadanya,” katanya.

Tambah mangsa, pertama kali dia sekeluarga berhadapan dengan kejadian menakutkan seumpama itu.

Katanya lagi, dia tidak berani melawan kerana tidak pasti sama ada pistol digunakan suspek itu betul ataupun palsu. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments