KUALA LUMPUR – Persatuan pengusaha stesen minyak bakal menemui Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada minggu depan.
Pertemuan tersebut bagi menyampaikan sendiri keluhan kerugian yang terpaksa ditanggung kebanyakan mereka akibat trend penurunan harga runcit siling produk petrol dan diesel ditetapkan selama tiga minggu berturut-turut.
Hamzah ketika ditemui pemberita berkata, polisi yang dilakukan oleh pihak kerajaan adalah bersifat mampan termasuk aspek penetapan harga jualan petrol dan diesel setiap minggu berdasarkan harga pasaran semasa.
“Apakah masalah-masalah mereka (pengusaha stesen minyak) sebenarnya? Apabila kita melakukan sesuatu perkara, kita juga kena mengambil kira bukan hanya kepada kepentingan pihak mereka itu semata-mata.
“Tetapi kita mahu pengguna juga menikmati apa yang kerajaan lakukan untuk mereka sendiri,” kata Hamzah dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2017 hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan banyak stesen minyak ditutup selepas pelaksanaan mekanisme penetapan harga, Hamzah menyerahkan kepada kebijaksanaan pengusaha minyak untuk memajukan perniagaan masing-masing.
“Saya nak bagi contoh di kampung saya di Selama seseorang mengusahakan (stesen) Caltex. Ia maju. Kenapa? Dia buka kafe, dobi, macam-macam aktiviti dia lakukan. Saya rasa dia antara pengusaha yang berjaya di kampung saya.”
“Jangan hanya nak menunggu harga minyak itu asyik naik sahaja,” kata Hamzah yang turut ‘hairan’ dengan sikap pengkritik apabila hanya bising apabila harga runcit siling minyak naik tetapi membisu pula apabila ia turun.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz sebelum ini berkata penurunan harga tiga minggu berturut-turut menyebabkan pengusaha stesen mengalami kerugian.
Keadaan itu mungkin menyebabkan ada pengusaha terpaksa mengambil keputusan menamatkan perniagaan kerana tidak mampu menanggung kos operasi cukup tinggi sejak penetapan harga mingguan diperkenalkan 1 April lalu.
Beliau mendakwa hampir 40 stesen pelbagai jenama menyerahkan operasi sejak pelaksanaan mekanisme penetapan harga bulanan pada Disember 2014, dan dijangka lebih banyak lagi selepas ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments