SERIAN: Seorang wanita ditemui mati, dipercayai ditembak suaminya yang juga seorang pegawai polis menggunakan pistol di sebuah rumah di Kampung Kakai, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa ditemui mati oleh jirannya sejurus ibu wanita berkenaan meminta pertolongan.
Sumber memberitahu BH, beliau mendengar bunyi tembakan dilepaskan dari rumah bersebelahan.
"Kemudian, ibu mangsa bergegas ke rumah saya memberitahu menantunya sudah menembak anak perempuannya.
"Dia meminta saya memeriksa keadaan dalam bilik kerana terlalu takut. Saya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Ibu mangsa juga memberitahu, suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih," katanya.
Sumber itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.
Difahamkan, usaha sedang digerakkan bagi mengesan suspek yang dikategorikan sebagai berbahaya kerana bersenjata api. - BHonline
No comments:
Write comments