Monday 18 December 2017

Ular Dalam Majlis Pengantin? Takde Hal..


PERSEMBAHAN dalam sesuatu majlis perkahwinan boleh mendatangkan mood kepada program berkenaan sekali gus memeriahkan lagi acara itu.

Mungkin ada yang berpendapat persembahan daripada artis kegemaran menjadi memori paling indah pada majlis persandingan mempelai tersebut.

Namun, lain pula buat pasangan ini apabila pengantin perempuannya membuat persembahan bersama haiwan berbahaya pada majlis perkahwinannya beberapa hari lalu.

Noros Emieza Mustaffa tampil berani telah membuat persembahan dengan seekor ular tedung seberat lima kilogram yang dimiliki abang iparnya, Mohd. Hamdan Mahadi.


“Saya tidak membuat latihan kerana kesuntukan masa. Walaupun ular agak agresif kerana abang ipar baru bawa ke sini, tetapi persembahan saya tetap lancar,” katanya dipetik Sinar Online.

Persembahan bersama reptilia tersebut berlangsung selama 90 minit di kediaman keluarganya yang terletak di Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan.

Tambah wanita berusia 20 tahun ini lagi, dia sudah ‘berkawan’ dengan haiwan berbisa berkenaan sejak lapan tahun lalu dan mengakui pernah cedera dipatuk ular.


Walaupun tanpa membuat latihan, nyata persembahan yang dipamerkan mendapat pujian daripada suami tercinta.

“Saya cuba buktikan kemampuan bermain ular di hadapan jemputan yang hadir saya bersyukur mereka terhibur. Suami juga kagum dengan kebolehan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, persembahannya dengan memakai pakaian pengantin tidak menghalang Noros untuk beraksi sekali gus menghiburkan kira-kira 400 tetamu yang hadir.


“Lebih mengembirakan saya idea ini datang pada saat akhir tetapi tetap berjalan lancar. Saya turut gembira, sambil makan jemputan dapat melihat aksi saya bermain ular,” tambahnya lagi.

Gambar-gambar persembahan tersebut turut tular menerusi media sosial dan rata-rata netizen terkejut bahkan ada kagum dengan keberanian yang ditunjukkan.

Nampaknya bermacam-macam idea pasangan pengantin kini bagi ‘mencantikkan’ kenangan hari bersejarah mereka. Walau apa pun, selamat penganti baru daripada kami! – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments