Monday 20 March 2017

Ibu Negara Dilanda Banjir Kilat, 11 Jalan Utama Terjejas


KUALA LUMPUR – Hujan lebat yang melanda ibu negara petang tadi menyebabkan 11 jalan utama terjejas teruk akibat banjir kilat, kata Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani.

Beliau berkata hujan lebat yang turun secara berperingkat itu berlaku kira-kira 3 petang tadi mengakibatkan banjir di sebahagian Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Semantan, Jalan Maarof, Jalan Dutamas serta Jalan Duta.

“Jalan lain yang turut terjejas ialah sebahagian Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Putra, Jalan Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman yang berlaku kesesakan tetapi terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Samsol Maarif berkata pihaknya terpaksa menggunakan dua pam bagi menyedut air dari tingkat bawah tanah bangunan Wisma Teck di Jalan Tun Perak yang dinaiki bah setinggi 2.1 meter.

Selain itu katanya banjir turut menenggelami tingkat bawah tanah bangunan Bank Muamalat di sini menyebabkan kira-kira 15 kenderaan terjejas.

Ditanya mengenai punca banjir kilat, Samsol Maarif berkata antaranya ialah Terowong SMART tidak melepaskan air selain kadar hujan yang tinggi iaitu 60 milimeter dalam tempoh satu jam. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments