Wednesday 29 March 2017

Polis Ipoh Berkas Suspek Kes Cuba Samun Warga Emas


Polis hari ini menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan menyamun seorang wanita warga emas di Taman Kampar dekat Pasir Puteh di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata kedua-dua suspek berusia 23 dan 28 tahun itu ditangkap secara berasingan di sekitar bandar raya ini susulan maklumat awam serta rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian.

Suspek pertama diberkas di sebuah rumah di Kampung Cik Zainal, Chemor pada 4.21 pagi manakala suspek kedua ditangkap di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun kira-kira 4.50 pagi, katanya dalam kenyataan di sini.


Mengulas kejadian 3.20 petang itu, Sum berkata kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal menghampiri mangsa berusia 68 tahun tersebut ketika warga emas berkenaan sedang berjalan ke arah keretanya yang diletak di belakang deretan kedai di kawasan tersebut.

“Kedua-dua suspek datang secara tiba-tiba dan bertindak menarik baju serta meminta wang daripada mangsa, namun mangsa menjerit meminta pertolongan dan orang ramai yang terdengar jeritan itu datang membantu,” katanya.

Kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri manakala mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Sum.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu kini direman enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Difahamkan aksi cubaan menyamun itu turut tular di media sosial. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments