Thursday 30 March 2017

Pencuri Tabung Masjid Dapat RM50 Jer…


MIRI – Dua pencuri sekadar mendapat RM50 sahaja ketika cuba berhempas pulas mahu mencuri duit daripada beberapa peti tabung di Masjid An-Naim, Lutong di sini, awal pagi kelmarin.

Ia berikutan tindakan bijak pihak pengurusan masjid tersebut yang sebenarnya sudah pun mengosongkan dua daripada tiga tabung ditempatkan di rumah Allah berkenaan, lebih awal lagi sebelum itu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Masjid, Marli Ali, kejadian dipercayai berlaku 2.30 pagi apabila dua penjenayah terbabit menceroboh masjid itu selepas berpenat lelah mengumpil pintu hadapan menggunakan batang besi.

Kedua-dua lelaki terbabit kemudian berjaya membuka tiga tabung masjid dengan menggunakan besi yang sama, namun mereka kecewa kerana hanya mendapati sebuah tabung sahaja berisi wang.

“Mujurlah dua daripada tiga tabung berkenaan sudah dikosongkan. Cuma sebuah tabung yang tidak dikosongkan, tetapi isi tabung itu hanya ada RM50.

“Tindakan dua penjenayah terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid, namun wajah suspek tidak dapat dikesan kerana memakai topi keledar,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Kata Marli, pihak masjid itu ketika ini lebih berhati-hati kerana penjenayah sanggup berbuat apa saja, termasuk melakukan jenayah curi waima di dalam rumah ibadat sendiri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments