Monday 20 March 2017

Penjenayah Miliki 10 Rekod Kesalahan Rempuh Polis


JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis nyaris maut selepas dirempuh penjenayah yang melanggar sekatan lalu lintas ketika cuba melarikan diri dari susur menghala ke Taman Perindustrian Plentong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dua anggota yang membuat rondaan mengesan kereta yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Perak, Pasir Gudang.

Media tempatan melaporkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, suspek yang berusia 30 tahun bertindak memecut secara melulu dan berbahaya sebelum merempuh sekatan lalu lintas serta melanggar anggota polis.

“Anggota sempat melepaskan satu das tembakan ke bahagian hadapan kereta suspek namun tidak mengenai suspek.

“Suspek kemudiannya memecut ke arah Johor Jaya. Apabila sampai di persimpangan di Jalan Rosemerah 2/11, berlaku kemalangan antara kereta suspek dengan kereta peronda MPV yang mengejar sebelum kedua-duanya berhenti.


“Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan yang terkena ke arah suspek selepas penjeyanah bertindak agresif dan meluru ke arah seorang anggota polis,” katanya.

Katanya, suspek yang cedera akibat tembakan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

Menurutnya, susulan rempuhan kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek, seorang anggota polis patah kaki kiri.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau iaitu tujuh rekod berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan tugass, curi kenderaan dan memiliki barang dengan curang serta tiga kes berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Kejadian tersebut dimuat naik di laman sosial sejak petang semalam dan menjadi tular.

Dalam rakaman tersebut, jelas kelihatan kenderaan suspek merempuh seorang anggota polis dan kedengaran bunyi kuat selepas rempuhan itu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments