Monday 27 March 2017

10 kali keluar masuk penjara, tak juga serik


KOTA KINABALU: Walaupun sudah 10 kali keluar masuk penjara sejak tahun 2009 atas kesalahan jenayah dan narkotik, namun hukuman itu belum dapat menyedarkan seorang lelaki pemungut hutang daripada mengulangi tabiatnya lamanya itu.

Lelaki tempatan berusia 31 tahun itu sekali lagi diberkas polis di sebuah rumah di Taman Sempelang, Sembulan, kira-kira jam 8.30 malam 25 Mac, kerana disyaki memecah masuk rumah seorang doktor di Sembulan bersama seorang lagi rakannya.

Ekoran serbuan polis itu, polis merampas dua unit komputer riba dan dua unit telefon bimbit yang dipercayai dicuri dari rumah doktor berkenaan yang dipecah masuk pada 22 Mac lalu, antara jam 7.20 pagi hingga 6.18 petang.

Menurut kenyataan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra hari ini, dalam serbuan itu, rakan mangsa, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 32 tahun yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, turut diberkas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun itu juga mempunyai empat kes jenayah dan narkotik lampau termasuk satu kes yang masih menunggu perbicaraan di mahkamah.

Semasa diberkas, kedua-dua suspek terbabit juga didapati positif dadah jenis syabu, kata Chandra.

Doktor berkenaan membuat laporan polis selepas balik daripada bekerja dan mendapati pintu rumahnya terbuka dengan kesan umpilan manakala bahagian dalam rumah berselerak. - Sarawakvoice

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments