Tuesday 28 March 2017

Dera Budak: 2 Guru Wanita Tuisyen Ditahan


JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan dua guru wanita bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan kini ialah tiga orang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, kedua-dua guru wanita masing-masing berusia 23 dan 34 tahun itu ditahan pihak polis di sekitar Skudai di sini bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kes tersebut buat masa ini telah disiasat mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 dan meminta mana-mana saksi kejadian untuk segera tampil bagi membantu proses siasatan oleh pihak polis.

Sehingga kini, tiga individu telah pun ditahan bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak lelaki hingga melecur tahap dua pada punggungnya di Taman Ungku Tun Aminah sehingga menjadi tular menerusi media sosial.

Pada pukul 2.30 petang Isnin, seorang kakitangan lelaki pusat tuisyen berusia 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan sebelum dua guru berkenaan pula ditahan susulan satu laporan di Balai Polis Central di sini pada Ahad.


Kakak mangsa berusia 24 tahun dalam sidang media mendakwa punggung adik lelakinya itu ditekap dengan kuali dan cawan panas direndam dalam air didih, konon kerana nakal dan enggan buat kerja sekolah oleh guru tuisyen.

Punggung budak tersebut melecur teruk hingga berdarah dan helah guru tuisyen itu terbongkar apabila mangsa berjaya melarikan diri sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran guru wanita berkenaan di Taman Perling.

Jiran guru tuisyen itu kemudian pergi ke tempat kakak mangsa bekerja di Taman Perling dan membawa buak tersebut mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sebelum membuat laporan polis.

Kakak mangsa turut mendakwa adiknya dirotan sebanyak empat kali kerana dikatakan degil, selain tidak diberi makan dan minum sejak tinggal di rumah guru berkenaan selama dua minggu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments