KUANTAN: Gambar kejadian fenomena 'pantai berbuih' yang didakwa berlaku di Pantai Balok pada Jumaat lalu menjadi viral di media sosial dan menarik perhatian pelbagai pihak.
Bagaimanapun Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang tidak menerima sebarang laporan mengenainya dan tinjauan di pantai berkenaan semalam mendapati fenomena berkenaan tidak lagi berlaku.
Pengarahnya, Rosli Zul, berkata pegawai dan anggotanya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu dan tidak dapat memberi pengesahan atau mengulas lanjut berhubung fenomena berkenaan.
"Apa yang saya lihat gambar yang viral di media sosial itu tidak mustahil berlaku kerana fenomena yang sama pernah terjadi di kawasan pantai di Telok Panglima Garang, Selangor, sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, gumpalan buih itu boleh terjadi hasil tindak balas air dan pasir pantai hingga menghasilkan fenomena berkenaan.
Dua tahun lalu, 'fenomena laut merah' pernah melanda Pantai Balok yang antaranya berpunca akibat kegiatan bauksit di daerah ini sehingga mengundang reaksi negatif daripada masyarakat.
Ia kemudiannya membawa kepada moratorium kegiatan bauksit sejak 15 Januari tahun lalu sehingga kini bagi membolehkan keadaan di kawasan terjejas dapat dipulihkan.
Sementara itu, seorang pengunjung ke pantai itu, Wan Shukriyyah Wan Ahamad Khalil, 30, berkata dia dan suami serta dua anaknya mengambil kesempatan berkunjung ke pantai berkenaan pada pagi Jumaat.
"Kami pulang ke kampung di Beserah dari Ampang, Selangor, ketika mandi di pantai itu saya perasaan ada buih dan anak-anak cukup teruja melihatnya, kami turut merakamkan gambar kejadian itu.
"Saya tidak ada menghidu bau sabun pada buih berkenaan, ...hanya ada bau air laut (air masin) dan tiada kesan negatif pada kulit kami hingga kini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, dia memuat naik gambar berkenaan di Facebook dan tidak menyangka ia menjadi viral serta mendapat perhatian daripada orang ramai. - BH Online
No comments:
Write comments