TANAH MERAH - Wanita warga emas terpaksa menahan sakit lebih dua jam selepas tangan kanannya tersepit dalam lubang tandas di rumahnya di Kampung Gobek, dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, wanita berusia awal 60-an yang tinggal bersendirian itu dipercayai tergelincir lalu terjatuh menyebabkan sebelah tangannya terperosok dalam lubang tandas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Hanaffi Mohd berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima daripada orang awam pada jam 3.25 petang.
Katanya, sebuah jentera bersama tiga anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Hasrul Afandi Ibrahim dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba di rumah mangsa pada jam 3.48 petang.
"Apabila sampai, seorang wanita warga emas didapati terbaring di dalam bilik air dan tangan kanan mangsa terjerlus dalam lubang tandas.
"Komander Operasi kemudian mengarahkan mangkuk tandas dipecahkan dengan beberapa peralatan sehingga tangan mangsa berjaya dikeluarkan," katanya.
Tambahnya, mangsa yang cedera di tangan diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 4.35 petang. - Sinar Harian
No comments:
Write comments