Seorang penganggur dipenjara sehari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas dia mengaku bersalah mencuri lima helai seluar dalam dua hari lepas.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Tek Wui, 46, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu dari tarikh dia tangkap iaitu 18 Februari lepas dan akan dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.
Dia didakwa mencuri lima helai seluar dalam bernilai RM99.73 milik Kedai Uniqlo, Suria KLCC di Jalan Ampang di sini pada 10.40 pagi 18 Feb lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dia dikenakan denda minimum.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan jurujual di kedai tersebut telah melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan dan selepas semakan dibuat mendapati tertuduh telah mencuri beberapa helai seluar dalam yang dimasukkan ke dalam plastik yang dibawanya. - Bernama
No comments:
Write comments