PELAKON Tom Cruise dilapor mengalami kecederaan selepas gagal melaksanakan aksi lagak ngeri lompat bumbung bangunan ketika dalam penggambaran filem terbaharu Misson Impossible 6 di London, semalam.
Ketika kejadian itu berlaku, Tom dilihat sedang melompat di antara dua buah bangunan dengan alat bantuan namun terjunannya tidak sampai ke bumbung bangunan kedua sehingga menyebabkannya terus merempuh bangunan tersebut.
Rakaman yang tersebar itu juga turut menunjukkan bapa Suri Cruise itu tidak sempat mendarat ke bangunan kedua.
Selepas berjaya menaikkan dirinya ke bumbung bangunan itu, Tom turut dilihat berjalan tempang dan tersengguk-sengguk sebelum melutut berhampiran beberapa anggota kru penggambaran.
Tahap kecederaan Tom masih belum dapat dipastikan namun begitu aktor itu berkemungkinan besar akan berehat seketika sebelum menyambung penggambaran filem francais terbesar dunia itu.
Kemalangan ini bukanlah kali pertama yang dilalui Tom kerana sebelum ini dia pernah mengalami kecederaan di set penggambaran semasa merakamkan filem Edge of Tomorrow tiga tahun laulu.
Dalam insiden itu, Tom hampir-hampir terlibat dalam kemalangan selepas rakan gandingannya Emily Blunt memandu terlalu laju dalam salah satu babak filem tersebut. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments