Tuesday, 15 August 2017

Kek Buah 106 Tahun Ditemui Di Antartika Boleh Dimakan


NEW YORK – Kek kek buah mungkin jenis popular disajikan semasa musim perayaan. Namun kek kukus ini tidak boleh dibeli di mana-mana. Kenapa? Kerana kek ini berusia lebih 100 tahun!

Baru-baru ini hidangan kek buah itu menarik perhatian dunia apabila ia ditemui bersalut ais di Antartika. Ia dipercayai milik seorang penjelajah Britain, Robert Falcon Scott, menurut kumpulan Antartic Heritage Trust (AHT).

Lebih menarik lagi, kek buah tersebut dikatakan sudah berusia genap 106 tahun namun didapati masih lagi boleh dimakan tanpa apa-apa masalah besar, menurut badan warisan yang berpangkalan di New Zealand itu.

Kek berkenaan, yang dipercayai dibawa Scott dalam jelajah Terra Nova beliau antara tahun 1910-1913, dijumpai di sebuah bangunan tertua Antartika yang digunakan pasukan beliau pada tahun 1911, menurut kumpulan AHT.

Makanan tersebut secara kebetulan ditemui dalam keadaan masih berais dan ia digulung elok dengan kertas serta dalam sebuah “tin” milik sebuah syarikat biskut Britain dikenali sebagai Huntley & Palmers.

Terdapat dokumen yang mengesahkan Scott membawa jenama kek itu semasa menjelajah, tambah AHT, sebuah kumpulan tidak jana keuntungan yang banyak menceburi dalam bidang perniagaan “penjelajah muda”.

Pengurus Program Artifak AHT, Lizzie Meek dalam satu kenyataan berkata, bahawa apa yang mengejutkan mereka kerana kek tersebut masih baik lagi ketika ditemui meskipun sudah berumur lebih satu abad.

“Terdapat sedikit aroma mentega tengik tetapi selain daripada itu, ia kelihatan dan berbau seperti masih boleh dimakan. Tidak dapat dinafikan kesejukan di Antartika yang membantu kek ini dipelihara.” katanya.

Kek berkenaan adalah antara 1,500 artifak yang berjaya dikumpulkan dari dua buah pondok oleh sepasukan aktivis penyokong pemuliharaan yang bekerja di tapak tersebut sejak Mei 2016.

“Menemui kek buah sebagai antara artifak adalah satu kejutan yang baik,” tambah Meek. Namun, mengapa kek buah menjadi pilihan para penjelajah di Kutub Selatan pada zaman dahulu sehingga kini?

“Ia satu makanan bertenaga yang sesuai bagi keadaan di Antartika,” jelasnya, sambil berseloroh: “Dan ia hidangan kegemaran masa ini apabila kita melakukan perjalanan ke kawasan itu!” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments