SEORANG wanita tempatan maut selepas dipercayai leka menggunakan telefon bimbit ketika dia sedang melintas jalan di daerah Si Racha, Thailand, baru-baru ini.
Dalam kejadian pukul 2.58 waktu tempatan pada Rabu lalu, mangsa Sudchada Buripia, 40, meninggal dunia akibat cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang pegawai kerajaan.
Thai PBS melaporkan, suami mangsa, Prasong Buripia berkata, kejadian berlaku selepas isterinya menghantar anak perempuan mereka di hospital berdekatan dan dalam perjalanan pulang untuk mengambil anak bongsu di sekolah.
Sementara itu, pemandu kereta berkenaan, Mangkorn Somsud berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tambon Bang Phra apabila menghampiri lampu isyarat, mangsa tiba-tiba melintas di hadapan keretanya.
Pemandu tersebut mengakui tidak menyedari mangsa berada di laluan berkenaan malahan tidak sempat untuk memberhentikan kenderaannya.
Video kejadian tersebut menjadi tular menerusi laman sosial yang jelas memaparkan tubuh mangsa melayang jauh selepas dirempuh oleh kenderaan berkenaan.
Mangsa bahkan kelihatan seperti sibuk bercakap di telefon ketika mahu melintas jalan raya tanpa memerhatikan keadaan di sekeliling.
Wanita yang berasal dari Chonburi, itu melayang ke udara selepas dilanggar sebuah kereta berwarna perak yang bergerak laju.
Visual detik cemas semasa dilanggar itu mendapat kritikan dan mengejutkan netizen. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments