Sunday 14 May 2017

Percutian 31 Pelajar di Homestay Diintip Kamera Tersembunyi


Petaling Jaya: Percutian yang membabitkan 31 pelajar universiti bertukar menjadi 'mimpi ngeri' buat mereka apabila mereka dirakam secara rahsia di bilik mandi.

MStar Online melaporkan, kumpulan terbabit; 23 wanita dan lapan lelaki; yang berusia sekitar 20-an itu tinggal di sebuah homestay di Selayang pada 9 Mei dalam satu percutian.

Salah seorang pelajar, Wong, terkejut apabila salah satu penyangkut di bilik mandi itu terjatuh selepas dia menyangkut tuala di situ.

Dia berasa tidak selesa apabila ternampak satu cip dan sesuatu yang menyerupai kanta kamera, lantas bertindak memberitahu rakan-rakannya.

Pelajar-pelajar berkenaan kemudian memeriksa bilik mandi lain dan terkejut apabila menemui peranti sama.

Laporan polis telah dibuat oleh salah seorang bapa pelajar di Balai Polis Selayang, sebelum membawa perkara itu kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong.

"Dia juga meminta bantuan juruteknik memeriksa peranti itu yang akhirnya dikenal pasti sebagai kamera pengintip," katanya.

Kata Chong, setakat ini pengendali homestay dan seorang pekerja asing telah disoal siasat polis.

Beliau menambah ini adalah aduan ketujuh yang diterima melibatkan kamera pengintip sambil mengingatkan pemilik yang menjadikan kediaman mereka sebagai homestay memastikan lokasi mereka 'bersih' daripada peranti seperti itu.

"Ia mungkin telah dipasang oleh seseorang dengan niat tidak baik, jadi lebih baik berjaga-jaga sebelum terkena," katanya. - mStar Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments