Thursday 18 May 2017

Kenapa Awak Tak Hormat Perdana Menteri? – Mat Over


PELAKON dan pelawak veteran, Sulaiman Yassin menyifatkan tindakan ‘barbaric’ menampar penerbit filem, David Teo lewat Rabu adalah rasional dan bertujuan memberi pengajaran.

Memetik laporan media tempatan, Sulaiman yang lebih dikenali sebagai Mat Over, menjelaskan bahawa beliau spontan bertindak sedemikian kerana mahu mengajar David mengenai adab terhadap pemimpin.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini.

Katanya lagi, beliau mempersoalkan tindakan David dilihat bercakap kasar dengan perdana menteri dan pengacara majlis ketika berlangsungnya sesi program Dialog TN50 diadakan di Dewan Bankuet, Seri Perdana, Putrajaya.

“Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam Nor selaku moderator.

“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia, kita perlu ada adab dan hormat-menghormati,” tambah pelakon veteran itu.

Dalam pada itu, menurut David pula, beliau berhadapan dengan momen yang agak mencemaskan semalam.

“Tiba-tiba saja dia meluru serta menampar saya. Saya hanya mempersoalkan tindakan Rosyam tidak menggunakan pentas bulat itu dengan sepenuhnya.

“Dia hanya fokus satu arah di depan saja sedangkan saya juga mahu bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri.

“Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang dan sudah memaafkannya,” katanya.

Terdahulu, kecoh seketika majlis TN50 Penggiat Seni bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam apabila berlaku satu insiden memalukan.

Difahamkan insiden memalukan itu berlaku dihadapan Najib apabila seorang penerbit filem itu ditampar oleh seorang pelakon ketika sesi bersama selebriti dalam program berkenaan.

Namun, pada penghujung majlis, kedua mereka dilihat bersalaman di hadapan Datuk Seri Najib. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments