Teman berasa terpanggil untuk memberi komen berkenaan kes tragedi kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bharu pada 18 Febuari lepas yang mengorbankan lapan nyawa anak-anak muda.
Kemalangan dikatakan berlaku sekitar jam 3 pagi sewaktu anak-anak tersebut sedang berkayuh di lokasi bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah.
Dikatakan lebih 30 anak-anak tersebut berada di kawasan itu bersama basikal masing-masing.
Pemandu, seorang gadis berbangsa Cina berumur 22 tahun memandu kereta jenis Nissan Almera dikatakan merempuh anak-anak tersebut yang berkayuh menuju haluan yang sama, bermakna ia rempuhan daripada belakang.
Melihat daripada gambar kawasan tragedi, kelihatan rempuhan itu berlaku di tepi jalan sebelah kiri.
Teman melihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, termasuk oleh pihak polis dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi gambaran seolah-olah anak-anak tersebut yang bersalah, dengan satu alasan dangkal yang utama: apa anak-anak itu buat berkayuh basikal beramai-ramai jam 3 pagi!
Tidak ada pulak yang bertanya apa seorang gadis berusia 22 tahun buat memandu kereta berseorangan jam 3 pagi? Dan kenapa sehingga hari ini identiti pemandu itu tidak didedahkan, sebaliknya identiti mangsa dengan emak bapa mereka pulak yang didedahkan.
Kebiasaanya, kalau berlaku tragedi kemalangan saperti ini dengan cepat identiti pemandu yang melanggar akan didedahkan, tetapi dalam kes ini teman agak pelik!
Adakah pemandu itu diberi perlindungan istimewa? Adakah dia daripada keluarga tertentu yang mesti dilindungi? Setakat hari ini teman tidak mendengar sebarang ancaman terhadap gadis Cina tersebut untuk membolehkan identitinya tidak didedahkan!
Berbalik kepada isu tragedi kemalangan itu, teman berasakan pihak-pihak berkaitan terlalu menumpu kepada anak-anak tersebut berkayuh basikal jam 3 pagi; seolah-olah satu dosa besar bagi anak-anak itu berkayuh basikal jam 3 pagi!
Teman bukan bermaksud hendak membela anak-anak itu, tetapi isunya ialah siapa yang bersalah dalam tragedi itu?
Kenapa begitu cepat pihak berkuasa membuat keputusan dan membebaskan pemandu tersebut; dan paling malang ada pulak pihak yang mengugut akan mengambil tindakan terhadap ibu bapa anak-anak itu kerana membenarkan atau membiarkan anak-anak itu berbasikal jam 3 pagi!
Halo yop, sejak bila naik basikal jam 3 pagi itu satu dosa; satu kesalahan?
Di bawah Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas:
1. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal jam 3 pagi!
2. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal ramai-ramai;
3. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal atas jalan raya;
Apa yang jelas, melanggar seseorang atau sesuatu kenderaan dari belakang di atas jalan raya adalah prima facie – satu kesalahan!
Pihak polis wajar memperhalusi siasatan mereka dengan mengkaji persoalan berikut:
1. Bagaimana pemandu tersebut boleh merempuh sekumpulan pengayuh basikal dari belakang?
2. Agak mustahil untuk mana-mana pemandu tidak nampak sekumpulan pengayuh basikal di atas jalan raya apatah lagi kalau jumlahnya sampai 30 orang;
3. Alasan konon jalan itu menurun bukit adalah terlalu dangkal; sebab semua pemandu telah pun melalui latihan pemanduan untuk memperlahankan kenderaan apabila melalui selekoh atau mendaki atau menuruni bukit;
4. Apa yang menyebabkan pemandu itu tidak dan/atau gagal melihat atau menyedari ada sekumpulan ramai pengayuh basikal dikawasan tersebut;
5. Ada kenyataan dibuat oleh mangsa dan saksi menyatakan melihat pemandu itu menggunakan telefon bimbit dan memandu laju; oleh itu pihak polis wajib menyiasat maklumat ini.
Teman agak hairan dalam tempoh yang begitu singkat kenyataan dikeluarkan konon pemandu tersebut tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak membawa laju! Bila siasatan terperinci dibuat?
6. Melihat kepada gambar-gambar pascakejadian, kelihatan rempuhan tersebut sangat kuat sehingga melanggar begitu ramai pengayuh basikal dan menyebabkan 8 kematian! Ini sahaja sudah cukup untuk pihak berkuasa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan tersebut!
Dalam bahasa undang-undang, ada prinsip dipanggil res ipsa loquitur – sesuatu perkara itu terjelas dengan sendirinya!
Rempuhan kuat dari belakang oleh sebuah kereta terhadap sekumpulan ramai pengayuh basikal di sisi kiri sebatang jalan raya dua lorong memberi gambaran sama ada pemandu itu lalai, alpa, atau dalam keadaan gagal mengawal kenderaannya!
Maknanya ada kes prima facie untuk disiasat dengan lebih terperinci!
Teman harap kita bertindak waras dan rasional dalam tragedi ini, dan tidak terbawa-bawa dengan sikap emosional, prejudis atau bias!
Adakah hanya kerana anak-anak itu berkayuh basikal jam 3 pagi secara beramai-ramai maka mereka boleh dirempuh daripada belakang begitu sahaja; dan mereka yang dipersalahkan?
Apa beza anak-anak yang berkayuh basikal itu dengan keadaan sebaliknya; apa kata jika pemandu tersebut merempuh beberapa kenderaan lain seperti kereta atau motosikal daripada belakang?
Tidak ada beza bukan?
Soal mereka berkayuh basikal jam 3 pagi beramai-ramai bukan isunya! Itu mungkin isu sosial yang perlu ditangani secara berasingan melalui kaedah yang diperlukan.
Tetapi ini isu tragedi kemalangan jalan raya! Sebuah kenderaan merempuh sekumpulan pengayuh basikal dari belakang di sisi sebelah kiri sebatang jalan menyebabkan 8 kematian!
Prima facie ada sesuatu yang “tak kena” dengan cara pemanduan atau pengendalian kereta tersebut oleh pemandu berkenaan!
Teman mendesak pihak polis dan pihak berkuasa supaya memperhalusi siasatan mereka! Dan teman cadangkan supaya siasatan dibuat dibawah Seksyen 302A Kanun Kesiksaan dan sebagai alternatif Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.
Teman nasihatkan kepada keluarga mangsa supaya merujuk kepada peguam untuk menimbang membawa kes ini ke mahkamah untuk tindakan sivil yang bersesuaian.
Dan jika tidak berpuas hati dengan siasatan pihak berkuasa, failkan writ prerogatif di Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah yang bersesuaian.
Peguam yang mahir akan boleh memberikan nasihat dan panduan yang bersesuaian, insya-Allah.
Dan akhirul kalam, nasihat teman kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Daerah (dan yang sewaktu dengannya), lain kali kalau ditanya soalan berkaitan sesuatu insiden atau kejadian jenayah seperti ini, suka teman mengulang nasihat seorang sahabat bekas pegawai tinggi pasukan polis, “jawab saja ‘kes masih dalam siasatan dan kita akan siasat sewajarnya mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada”. Selesai masalah! - Sarawak Voice
No comments:
Write comments