Thursday, 23 February 2017

Pengurus Besar Lulus Sendiri Peruntukkan RM80k Rawat Obesiti Direman


PUTRAJAYA: Seorang pengurus besar kanan bahagian sumber manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan direman empat hari bagi siasatan kes menyalahgunakan kedudukannya dengan meluluskan peruntukan RM80,000 bagi rawatan kecantikan kulit dan program pelangsingan badan untuk diri sendiri.

Perintah reman bermula hari ini terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini. 

Lelaki itu itu ditahan di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras kira-kira jam 11 pagi semalam. 

Menurut sumber, suspek dikatakan mempunyai masalah obesiti dan disyaki menyalahgunakan kad kredit korporat yang dibekalkan oleh syarikat kepadanya untuk menjalani satu rawatan yang tidak terdapat dalam kontrak faedah. 

Sumber berkata, kad kredit korporat itu hanya boleh digunakan untuk kegunaan rasmi termasuk pembelian tiket kapal terbang, penginapan, keraian dan dan belanja mesyuarat seperti yang dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP) syarikat. 

Bagaimanapun, suspek dipercayai melakukan penyelewengan itu walaupun tahu kad kredit korporat yang dibekalkan itu tidak melindungi faedah kecantikan dan pelangsingan badan. 

Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan rawatan kecantikan kulit dan pelangsingan badan di sebuah klinik dan hospital swasta di Lembah Klang antara Disember 2015 hingga Ogos 2016. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi. - BH online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments