Thursday, 23 February 2017

Media Korea Utara tuduh Malaysia politikkan kematian Jong-nam


SEOUL: Media kerajaan Korea Utara memecahkan kebisuan 10 hari, susulan pembunuhan abang pemimpin Kim Jong-un, melancarkan serangan ke atas Malaysia kerana cara pengurusan 'tidak bermoral' kes itu dan mempolitikkan mayat.

Dalam ulasan pertamanya ke atas pembunuhan Kim Jong-nam di sebuah lapangan terbang di Kuala Lumpur, KCNA berkata, Malaysia bertanggungjawab atas pembunuhan itu dan menuduhnya bersubahat dengan Korea Selatan. 

"Malaysia bertanggungjawab menyerahkan mayatnya (Jong-nam) kepada DPRK (Democratic People's Republic of Korea) ketika ia menjalankan bedah siasat dan pemeriksaan forensik dengan cara tidak sah dan tidak bermoral," kata Jawatankuasa Perundangan Korea Utara, dalam ulasan diterbitkan agensi berita kerajaan itu. 

Dalam satu kenyataan panjang lebar namun tidak menyebut nama mangsa, KCNA berkata, Malaysia belum memberi pelepasan mayat 'di bawah syarat tidak masuk akal' kerana memerlukan sampel DNA daripada keluarga lelaki yang meninggal dunia itu. 

"Ia membuktikan pihak Malaysia akan mempolitikkan isu pemindahan mayat tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa dan moral, seterusnya mencapai tujuan jahatnya," katanya.

Malaysia menahan empat orang, seorang lelaki Korea Utara, seorang Malaysia yang kemudian dibebaskan serta wanita Indonesia dan Vietnam, dalam serangan 13 Februari lalu ke atas Jong-nam ketika beliau sedang menunggu penerbangan ke Macau. 

Satu bedah siasat menolak dakwaan Jong-nam maut akibat serangan jantung dengan penyiasat kini memfokuskan teori racun disapu pada wajahnya dalam apa yang ditegaskan Korea Selatan, pembunuhan terancang. 

Kenyataan Pyongyang, dikeluarkan dalam bahasa Inggeris dan Korea, mengulangi tuntutan negara terasing itu untuk menjalankan siasatan bersama, menegaskan ia bersedia menghantar pasukan penyiasat. - BH online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments