Friday 17 February 2017

Penderaan seks kanak-kanak: Mengapa keadilan sukar terlaksana?


PETALING JAYA: Kanak-kanak mangsa penderaan seksual sukar mendapatkan keadilan kerana proses undang-undang terlalu membebankan, kata pertubuhan basmi penderaan seks kanak-kanak.

Madeleine Yong, pengasas “Protect and Save the Children”, berkata undang-undang menuntut terlalu banyak bukti dikemukakan sebelum saspek boleh didakwa.

“Kamu perlukan bukti forensik, yang sukar didapatkan, kemudian kamu perlukan bukti sokongan,” katanya. “Pihak berkuasa mencari 2 bukti itu, dan selalunya mustahil untuk peroleh kedua-duanya.”

“Kita pernah mempunyai banyak kes bersama bukti forensik, tetapi tak lepas.”

Madeleine berkata demikian selepas tayangan dokumentari berkenaan pedofilia di PJ Live Arts, Jaya One di sini.

Dokumentari 46-minit itu tertumpu kepada siasatan oleh polis Australia dan British yang membawa kepada tangkapan perogol bersiri Richard Huckle tahun lepas. Huckle dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup di UK kerana mendera kanak-kanak Malaysia secara seksual semasa mengajar di negara ini.

Sebenarnya banyak kes pedofilia tidak dilaporkan, kata Madeleine.

“Bila kami mula beroperasi 20 tahun lalu, kita banyak terima kes lama. Ramai orang, termasuk pra-sekolah, datang kepada kami dan beritahu mereka didera secara seksual berdekad lalu.

“Kita akan lakukan penilaian dan sekiranya kanak-kanak itu bukan saksi kuat, selalunya kita akan tawarkan terapi dan kaunseling. Ini kerana sistem undang-undang jenayah amat rumit.”

Seorang wakil Persatuan Peguam Wanita menggesa sistem sokongan sebaiknya untuk mangsa.

Beliau berkata Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan hanya memberikan sokongan kepada pelaku jenayah, tidak kepada mangsa.

“Itu penting kerana jika kamu mahu tingkatkan pensabitan, maka khidmat sokongan mangsa perlu didirikan,” katanya. “Kita tidak mempunyainya di Malaysia. Negara seperti Australia, Kanada dan United Kingdom mempunyai khidmat sokongan untuk mangsa.”

Selepas acara itu, Madeleine memberitahu FMT sebenarnya terdapat lebih banyak kes penderaan kanak-kanak daripada yang dilaporkan. Beliau mendakwa jumlah sebenarnya dirahsiankan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Laporan Reuters tahun lepas berkata ada 12,987 kes penderaan seksual kanak-kanak yang dilaporkan antara Januari 2012 dan Julai 2016. Pendakwaan difailkan untuk 2,189, membawa kepada 140 pensabitan.

Menurut Reuters, kerajaan menyediakan data mengenai penderaan kanak-kanak hanya atas permintaan ahli Parlimen.

Dokumentari yang ditayangkan itu sebahagian daripada siri siasatan Channel News Asia, Undercover Asia. Tarikh siaran rasmi belum diumumkan. - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments