Oleh Rahman Imuda
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa universiti awam berusaha “membersihkan” universiti daripada didiami oleh mahasiswa yang melakukan “dosa besar” di mata pentadbiran universiti.
Bermula dengan Asheeq Ali di Universiti Kebangsaan Malaysia apabila beliau digantung satu semester kerana penglibatan dalam demonstrasi “Tangkap M01” pada Ogos 2016, diikuti kes 4 orang pelajar Universiti Malaya, Ahmad Ariffin di Universiti Teknologi Mara dan terbaharu, kes 2 pelajar Universiti Malaysia Sabah.
Semua mereka dihadapkan ke mahkamah universiti akibat penglibatan mereka dalam demonstrasi dan beberapa pertuduhan lain. Mereka mesti dihukum kerana melakukan dosa besar dan hukuman itu akan menjadi pengajaran kepada mahasiswa yang lain.
Sebelum pelajar baharu terjerumus dalam dosa besar yang boleh menyebabkan mereka kehilangan syurga kelak, mereka “direndam” dalam program orentasi yang berintikan pesanan menjadi golongan yang patuh dan angguk.
Beberapa hari lepas, saya melihat gambar tayangan video Anis Syafiqah ketika ditemubual oleh wartawan. Anis mendakwa kenyataan di gambar itu adalah fitnah, dan universiti yang menayangkan gambar itu adalah sebuah universiti yang terkenal dengan imej Islam!
Demi mengelakkan para mahasiswa baharu ini terpengaruh untuk melakukan dosa, gambar yang berbentuk fitnah kepada para pendosa terdahulu dihalalkan.
Mungkin ini adalah fatwa baharu yang dikeluarkan oleh ahli majlis fatwa universiti supaya mahasiswa baharu yang ibarat kain putih tidak melakukan dosa terkutuk seperti menghadiri demonstrasi atau melawan universiti.
Kebanyakan mahasiswa baharu yang sudah selesai “dibaptiskan” pulang ke bilik dengan azam mereka tidak akan melakukan dosa besar mahasiswa sebelum mereka. Mereka mahu berpegang teguh kepada falsafah hidup kebanyakan orang, iaitu datang ke universiti untuk belajar supaya boleh mendapat pekerjaan kelak, sambil menutup mata dan telinga.
Apabila seseorang itu terjun ke lembah dosa yang kotor, amat sukar dia kembali ke jalan yang lurus. Setelah mahasiswa yang berdosa besar tadi dihukum, mungkinkah akan ada sinar taubat di hati-hati mereka?
Atau adakah mereka akan tetap memilih untuk bergelumang di lembah yang penuh dosa?
Salah satu hukuman paling popular untuk pendosa ini adalah digantung pengajian. Asheeq bersama 3 mahasiswa UM digantung pengajian selama satu semester akibat dosa mereka. Setelah mereka ini dihukum, saya berfikir panjang tentang kebarangkalian mereka kembali ke pangkal jalan.
Hati, apabila sudah hitam, sukar untuk bertaubat. Inilah ayat sesuai untuk memberi gambaran terhadap hukuman yang dikenakan, saya pasti mereka berempat akan terus memilih jalan berdosa di mata universiti. Akhirnya hukuman yang diberikan bukan lagi bersifat mendidik tetapi menjadi acara untuk melemparkan rasa gerun kepada penuntut lain.
Masalah utama universiti awam di Malaysia adalah kadar kebergantungan mereka terlalu tinggi dengan kerajaan. Ini menyebabkan mereka terpaksa patuh dengan segala arahan yang diberikan oleh pemerintah.
Tanggungjawab membina universiti awam terletak di bahu kerajaan, tetapi ia tidak bermaksud ia boleh mengawal universiti sesuka hati.
Pemberian autonomi penuh kepada universiti awam perlu dilakukan semula. Ini akan mengelakkan pengurusan universiti kelihatan seperti patung yang dikawal oleh benang halus.
Saya percaya ahli akademik yang neutral dan tidak dikawal oleh sesiapa mampu memberi keputusan yang adil dalam mendefinisikan semula dosa dan pahala di universiti. Apabila definisi dosa dan pahala ini diberikan dengan adil, maka kita akan melihat kerancakan aktivisme mahasiswa.
Aktivisme ini akan melahirkan mahasiswa yang lebih berkualiti dan mempunyai nilai tambah berbanding dengan mahasiswa yang sedia ada sekarang.
Untuk mengelakkan salah faham pembaca, saya ingin menegaskan beberapa perkara. Saya tidak menyatakan semua mahasiswa yang mendaftar di universiti perlu melakukan dosa seperti berdemonstrasi, bersikap anti-establishment atau lantang mengkritik universiti.
Setiap mahasiswa datang ke universiti dengan tujuan masing-masing, dan itulah yang akan mereka perjuangkan sepanjang berada di kampus. Namun sikap sengaja menutup mata dan telinga daripada persekitaran adalah merugikan, jika tidak dapat berada di barisan hadapan untuk memperjuangkan sesuatu, maka jadilah mahasiswa di barisan belakang, jika itu tidak mampu, jadilah mahasiswa di belakang tabir, dan jika tidak mampu juga, paling minimal janganlah membenci perjuangan untuk kebaikan dan kebajikan mahasiswa.
Mahasiwa juga perlu dibicarakan dengan adil dan saksama. Amat malang jika panel yang membicarakan mahasiswa adalah mereka yang terkenal berpihak kepada parti atau persatuan tertentu yang boleh menimbulkan keraguan kepada orang awam.
Apabila panel seperti ini dipilih, maka kemungkinan besar mahasiswa datang ke mahkamah universiti untuk dihukum, bukan dibicarakan. - FMT
No comments:
Write comments