Polis dilapor menangkap pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung kes samun berkumpulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat memberitahu bahawa Jamal ditangkap bersama sembilan lagi suspek.
Ia susulan serbuan pemimpin akar umbi Umno itu di sebuah tempat didakwa pusat perjudian di Taman Kosas, Ampang pada 29 Disember lalu.
“Pusat hiburan keluarga itu ada lesen, semua ada permit bawah (MPAJ) Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
"Yang dia kata itu tempat judi, itu hal lain.
“Kita dapat beberapa laporan yang mengatakan barang mereka hilang masa serbuan ini, jadi itu yang kita siasat,” katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, kes itu disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara 20 tahun dan disebat.
Jamal ditangkap di rumahnya di Ampang dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya.
Menurut Fadzil, polis akan memohon perintah reman untuk menahannya lebih lama esok.
Serbuan Jamal sebelum ini dibuat bagi membuktikan dakwaannya bahawa terdapat banyak pusat perjudian dan rumah urut di negeri Selangor.
Beliau sebelum ini telah diberikan arahan untuk tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri. - Malaysiakini
No comments:
Write comments