PETALING JAYA: Ibu bapa dinasihatkan supaya menyahut cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk mula menabung bagi pendidikan tinggi anak bermula sejak anak masih kecil.
“Lebih awal anda menabung untuk masa depan pendidikan anak, lebih baik kerana anda akan dapat keuntungan daripada tabungan itu,” kata Pengarah Amalan dan Pengurusan Nasihat StandardFA, Lee Khee Chuan.
Lee berkata ibu bapa sepatutnya menganggap masa sebagai aset dengan semakin lama tempoh simpanan, mereka dapat mengumpul lebih banyak wang dan menerima faedah atau dividen.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Dasar dan Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid dalam satu ucapan baru-baru ini berkata ibu bapa patut mempertimbangkan membuka akaun SSPN-i Plus bagi setiap anak sebaik saja anak itu lahir.
Lee bersetuju dengan Mastura, dan berkata ibu bapa perlu mengelak membebankan anak mereka dengan hutang akibat pinjaman pelajaran.
Katanya, ada banyak pilihan pelaburan untuk pendidikan tinggi.
“Jika ia insurans, maka anda boleh guna pelan pendidikan di mana ia dikecualikan cukai bagi tujuan pendidikan, tetapi anda perlu berhati-hati kerana tidak 100% wang itu akan ke akaun pelaburan.
“Biasanya, 5% akan digunakan untuk caj perkhidmatan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata salah satu kelebihan meletakkan wang dalam insurans pendidikan ialah premiumnya akan dibayar syarikat insurans jika ibu bapa meninggal dunia atau hilang keupayaan.
“Satu lagi pilihan digemari ialah meletakkan wang dalam unit amanah, di mana lebih banyak wang akan digunakan untuk pelaburan,” katanya.
Katanya, ibu bapa juga boleh melabur dalam hartanah, tetapi perlu berhati-hati kerana kadangkala sukar menukar hartanah kepada wang tunai.
“Ia berisiko. Anda perlu memastikan anda dapat menjual hartanah itu pada masa yang diperlukan ketika anak hendak ke universiti.
“Dan jika berlaku kemelesetan ekonomi, anda mungkin berdepan masalah mendapatkan wang tunai,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mary Yap Kain Ching dipetik sebagai berkata 1,574,700 peminjam gagal melangsaikan hutang PTPTN mereka dengan nilai sebanyak RM32.07 bilion.
Peminjam yang gagal membuat bayaran disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman lain. - FMT
No comments:
Write comments