TAWAU: Polis menemui mayat seorang pekerja ladang sawit dipercayai dibunuh tertanam di sebuah pulau di Kalabakan Selatan, dekat sini, kelmarin.
Mayat mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Susanto, 64, ditemui kira-kira dua hari selepas dia dilaporkan hilang ketika keluar memancing bersama tiga rakan, pagi Rabu lalu.
Pemeriksaan pada mayat mangsa menemui kesan luka di bahagian belakang rusuk kanan serta lengan kiri dipercayai akibat tikaman menggunakan senjata tajam, selain tangan kanan patah dan ada kesan lebam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata sebelum itu mangsa keluar memancing bersama tiga rakan berusia 30 hingga 40 tahun di perairan Silimpopon, Kalabakan Selatan pada kira-kira jam 7 pagi, 1 Februari lalu.
Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak pulang ke rumahnya di Perumahan Kongsi Ladang Kalabakan Selatan sehingga keesokan harinya, menyebabkan isterinya meminta bantuan Pejabat Polis Bantuan FELDA di Kalabakan Selatan untuk mencari suaminya.
Beliau berkata, kira-kira jam 8 pagi kelmarin, seorang pekerja ladang menghubungi salah seorang pemancing yang keluar bersama mangsa sebelum lelaki terbabit memaklumkan dia berada di Bontang di Kalimantan, Indonesia, manakala Susanto telah mati dan ditinggalkan di pulau terbabit, namun tidak dimaklumkan punca kematian.
"Pekerja ladang berkenaan bersama beberapa rakan kemudian mencari Susanto di kawasan pulau itu sebelum menemui mayat mangsa tertanam di kawasan atas bukit.
Saksi kemudian menghubungi Polis Bantuan FELDA sebelum laporan dibuat di Balai Polis Kalabakan jam 12 tengah hari.
"Susulan itu, pegawai dan anggota Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama 10 anggota Tiger Platon, Strike Team, Ketua Polis Balai Kalabakan dan Polis Bantuan Felda bergerak ke pulau berkenaan dan menemui mayat terbabit," katanya kepada media di sini, hari ini.
Fadil berkata, polis kini giat mengesan tiga warga Indonesia yang bekerja di Ladang Kalabakan Selatan, berumur 30 hingga 40 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BH Online
No comments:
Write comments