Thursday 16 February 2017

Mengapa Suspek Bunuh Mudah Ditangkap?


DALAM masa lebih kurang 72 jam, dua wanita ditahan pasukan polis negara ini kerana dipercayai menjadi suspek utama kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Selatan, Kim Jong-un.

Wajah mereka dapat dilihat di kamera litar tertutup (CCTV) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2).

Begitu pantas mereka dapat dikesan dalam kes pembunuhan berprofil tinggi yang dikatakan banyak pihak didalangi Jong-un sendiri.

Melihat siapa yang menjadi mangsa dan siapa yang dituding jari, maka di minda kita akan terbayang mereka adalah pembunuh upahan atau perisik Korea Utara yang cukup terlatih.

Justeru, timbul persoalan iaitu andai profesional, mengapa mereka boleh ditahan dengan begitu mudah sekali?

Bukan mempersoalkan tahap kecekapan polis kita, namun jika melihat kepada garis masa kejadian, kedua wanita itu mempunyai waktu yang secukupnya untuk melarikan diri ke luar negara.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 8 ke 9 pagi Isnin lalu dan berita mengenai kejadian itu mula tersebar di media antarabangsa sebelah petang.

Penulis yakin pada peringkat awal polis pun belum dapat mengesahkan identiti mangsa dan kejadian yang berlaku sebenarnya adalah pembunuhan.

Bedah siasat belum dibuat ketika itu, jadi pada awalnya ia pasti diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut dahulu.

Apatah lagi nama di pasport adalah Kim Chol, jauh dari nama sebenar.

Sudah tentu juga tumpuan polis ketika itu tidaklah sehebat bila diketahui si mati adalah abang tiri kepada pemimpin Korea Utara.

Sekurangnya-kurangnya ada jarak sekitar lapan ke 10 jam sebelum kejadian itu mula heboh.

Andai kedua wanita berkenaan, yang setakat ini disahkan oleh Ketua Polis Negara sebagai pemegang pasport Vietnam manakala seorang lagi Indonesia mahu melesapkan diri, mereka ada ruang masa yang secukupnya.

Apatah lagi kejadian berlaku di Klia2, mereka boleh sahaja bersedia dengan tiket penerbangan untuk bergerak keluar dari negara ini sebaik sahaja melaksanakan misi mereka.

Namun mengapa memilih untuk terus kekal?

Ketika ditahan pun mereka berseorangan dan tidak melawan. Dengan begitu mudah mereka dikesan dan ditangkap.

Tidak ada ciri-ciri profesional atau perisik terlatih langsung dalam diri mereka jika perkara di atas dijadikan sandaran.

Malah ciri amatur yang begitu nyata sebenarnya.

Mengapa begitu mudah mereka kantoi?

Ada satu laporan yang agak masuk akal dengan perilaku kedua wanita itu seperti yang diterbitkan akhbar Oriental Daily Hong Kong.

Menurut laporan berkenaan, wanita Vietnan itu memberitahu pihak polis bahawa dia telah dipaksa atau diminta oleh empat lelaki agar menyembur muka Jong-nam dengan sesuatu manakala rakannya pula menutup muka mangsa dengan kain.

Kononnya ia bertujuan sebagai lawak jenaka atau prank.

Mereka berdua bertindak seperti mana diarahkan empat lelaki berkenaan.

Selepas melakukan apa yang disuruh, mereka kembali ke tempat asal tetapi gagal menemui empat lelaki misteri berkenaan.

Mynewshub difahamkan bahawa polis kini memang sedang berusaha mengesan kempat-empat lelaki berkenaan.

Kalau diamati senario ini, ada kemungkinan kedua wanita terbabit bukan pembunuh upahan atau perisik.

Manakala empat lelaki yang dimaksudkan mereka, yang wajah mereka pun belum lagi dapat disahkan atau dikesan, lebih menepati ciri-ciri perisik.

Mereka mungkin telah memanipulasi kedua wanita berkenaan dan kemudiannya hilang.

Kalau dilihat kepada kejadian, Jong-nam tidak mati serta-merta selepas terkena racun, malah dia sempat berlari mendapatkan bantuan.

Bermakna, sebaik racun disapukan ke muka, dia masih belum mati.

Justeru, kedua wanita berkenaan pun tidak mengetahui yang mereka telah melakukan pembunuhan sebaliknya mungkin beranggapan telah berjaya melakukan prank seperti yang diminta apabila melihat mangsa berlari.

Itu menjelaskan dengan mudah mengapa mereka masih ada dalam negara dan dapat dikesan dengan begitu pantas.

Hakikatnya, tidak ada sebab jika mereka perisik atau pembunuh upahan, menyerah diri dengan begitu mudah sedangkan ‘window of opportunity’ atau peluang untuk mereka melarikan diri terbuka begitu luas.

Kalau hendak bunuh diri pun ada ruang tetapi untuk tertangkap dengan mudah bukanlah ciri profesional.

Bagaimana mereka boleh bersetuju dengan permintaan empat lelaki misteri itu mungkin persoalan yang perlu dirungkai.

Apakah mereka dibayar atau diperdaya?

Namun di sebalik segala apa ditulis di atas, seorang rakan memberitahu penulis; “Mungkin juga diaorang perisik Korea Utara, cuma diaorang tidak hendak membunuh diri selepas melaksanakan misi seperti mana yang kerap dilakukan perisik negara itu, sebaliknya mereka memang mahu ditangkap.”

Ada juga lojiknya… apa pun kecekapan polis kita pasti akan dapat merungkai kejadian ini sepenuhnya tidak lama lagi. – MYNEWSHUB

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments