Sunday, 5 February 2017

Ibu tunggal bina rumah dengan buluh, kayu hutan

RANTAU PANJANG: Bagi memastikan lima anaknya ada tempat berteduh, seorang ibu tunggal mengerah kudratnya sendiri untuk membina tempat berlindung dengan menggunakan buluh dan kayu hutan di Kampung Banggol Nyior, di sini. 

Kamariah Sulaiman, 44, terpaksa mendirikan rumahnya tanpa bantuan sesiapa kerana tidak mampu membayar upah akibat kesempitan hidup selepas berpisah dengan suami sejak enam tahun lalu. 

"Rumah ini dibina lima tahun lalu kerana memikirkan anak saya yang ramai dan tidak mahu menyusahkan ibu saya yang tinggal bersebelahan rumah. Sebelum membina rumah ini, saya menumpang di rumahnya. 

"Saya membina rumah dengan menggunakan buluh dan bertiangkan kayu hutan serta lebihan kain untuk dijadikan dinding. Bahagian atas pula saya gunakan daun sagu untuk dijadikan atap. 

"Saya tiada asas kemahiran untuk membuat rumah, hanya menyusun kayu dan buluh ini untuk membentuk rumah yang kukuh bagi menampung kami sekeluarga. 

"Sejak terbinanya rumah ini lima tahun lalu, sudah banyak kali saya terpaksa menukar dinding dan lantai daripada kayu yang reput dan rosak demi keselamatan kami," katanya ketika ditemui BH di rumahnya, di sini. 

Kamariah turut menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk menampung anaknya yang berusia enam tahun hingga 19 tahun. 

"Saya risau jika ada tetamu datang ke rumah kerana bimbang akan runtuh atau terjatuh kerana tangga yang kami bina agak curam dan membahayakan. 

"Rumah saya terpaksa dibina agak tinggi kerana kawasan ini rendah dan senang dinaiki air. Malah, ketika banjir baru-baru ini air mencecah ke dalam rumah dan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara. 

"Saya tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anak bongsu yang masih kecil dan hanya mengharapkan bantuan, selain sedikit wang daripada bekas suami," katanya. - BH Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments