KOTA BHARU: Wanita yang dipercayai mengelar leher bayinya yang berusia 82 hari semalam didakwa masih mahu menyusukan anaknya selepas kejadian itu.
Seorang rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Lin, 32, berkata beliau ada menemui wanita terbabit di Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini sebelum suspek dibawa ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, semalam.
"Sebaik mendengar suara tangisan bayi lain ketika menerima rawatan semalam, dia terus mencari Areesa (Nur Areesa Sofea) untuk memberikan susu.
"Saya cuba memujuknya dengan mengatakan akan memberi susu kepada bayinya namun dia berkeras untuk menyusukannya sendiri sedangkan ketika itu bayi malang terbabit sudah pun meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Lin berkata pada pagi hari kejadian, suspek ada mengadu dalam aplikasi kumpulan WhatsApp mengatakan bayinya itu batuk dan enggan menyusu badan.
Katanya, itu adalah perbualan terakhir rakannya itu dalam kumpulan sebelum dikejutkan dengan tragedi berdarah berkenaan.
"Sebelum ini suspek beberapa kali memberitahu rakan dalam kumpulan WhatsApp bahawa kuartersnya kerap terdengar bunyi seseorang menumbuk lesung," katanya.
Lin juga berkata ayat yang berulang kali disebut rakannya itu ketika bertemunya di hospital ialah "benda tu suruh aku buat."
Katanya, rakannya itu juga mendakwa diarah oleh 'suara' supaya mengelar bayinya.
Dalam kejadian jam 2.45 petang semalam, bayi malang itu dipercayai dikelar ibunya berusia 32 tahun, di kuarters tentera di Kok Lanas, di sini. - BH Online
No comments:
Write comments