Sunday, 5 February 2017

9 hari setia tunggu kepulangan anak di jeti

KOTA KINABALU: "Saya setia menanti di jeti ini mengharapkan kepulangan anak. Kami berkampung di jeti ini bukan untuk meraih simpati tetapi sebab hati lebih tenang di sini, berbanding di rumah," kata Anni Tambuyung, 47, ibu Abhsoy Kassim, 26, kru bot karam di perairan Pulau Mengalum yang masih hilang sehingga hari ini. 

Anni dan ahli keluarganya setia menunggu di jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu sejak bot membawa pelancong China terbabit hilang pada 28 Januari lalu. 

Beliau yakin anaknya itu masih hidup walaupun sudah sembilan hari hilang di laut, namun reda walau apapun yang terjadi. 

"Saya menghargai kunjungan beberapa pihak sejak hari pertama kejadian, termasuk mereka yang memberi sumbangan. Di jeti inilah kami tidur dan makan dengan beralaskan tikar," katanya ketika ditemui selepas kunjungan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad, hari ini. 

Sementara itu, Jainab berkata, beliau mendapat tahu mengenai 'kesetiaan' keluarga mangsa menanti di jeti berkenaan, semalam. 

"Hari ini saya datang melawatnya dan memberi kata-kata semangat, selain menghulurkan sumbangan peribadi. Saya juga akan memberi beberapa lagi bantuan jika diperlukan bagi memastikan nasib mereka terbela," katanya. 

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi jeti PPM Kota Kinabalu apabila Anni sebak ketika menceritakan kesedihan dialaminya kepada Jainab yang turut tidak mampu menahan air mata. 

Abhsoy adalah kru bot yang masih belum ditemui bersama lima lagi pelancong warga China. 

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk hari kesembilan hari ini, dengan kawasan pencarian ditumpukan kira-kira 2,000 batu nautika persegi di sektor lokasi mayat seorang wanita ditemui, semalam. 

Petang semalam, mayat wanita dipercayai pelancong China, ditemui tersangkut pada pukat nelayan tempatan di lokasi 14.4 kilometer (km) barat daya Pulau Mengalum. 

Dalam insiden bot karam terbabit, seramai 22 orang terselamat, tiga meninggal dunia manakala enam dilaporkan hilang. - BH Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments