Sunday, 5 February 2017

Hak berjudi dan halang berjudi

“Judi adalah haram di sisi agama Islam. Orang-orang Islam, mereka yang berumur di bawah 21 tahun, atau murid-murid sekolah yang berpakaian seragam tidak dibenarkan memasuki premis/ruang ini.”

Begitu tertulisnya papan tanda yang tertera di setiap kedai nombor ekor di Malaysia.

Walaupun ramai yang boleh membaca papan tanda ini, ramai juga yang melanggar peraturan ini.

Taukeh kedai tetap sudi menjualnya kepada sesiapa sahaja yang sanggup membeli walaupun dia tahu ia terlarang untuk sesetengah golongan pembeli. Di mana ada duit, di situlah ada orang “buta” papan tanda.

Setakat ini tiada golongan “sekular” yang membantah perkara ini.

Bayangkan sekiranya papan tanda diubah dengan nada yang keras untuk mengingatkan orang ramai akan akibatnya jika orang-orang yang tidak boleh berjudi didapati membeli nombor ekor.

“Judi adalah haram di sisi agama Islam. Orang-orang Islam, mereka yang berumur di bawah 21 tahun, atau murid-murid sekolah yang berpakaian seragam yang membeli tiket judi akan didenda RM1,000.”

Nada amaran ini rasanya akan dapat menjauhkan mereka yang tidak boleh berjudi daripada kedai judi berlesen sekiranya ada kekerapan denda dikenakan pada pembeli yang melanggar peraturan.

Bagaimanapun, cara ini tidak dapat menghalang sepenuhnya mereka yang tidak boleh berjudi daripada membeli tiket judi kerana ada yang sanggup mengambil risiko terutamanya di kawasan-kawasan di mana penguatkuasaan adalah lemah.

Apa kata kalau nada papan tanda diubah lagi, di mana tanggungjawab diletakkan pada bahu pemilik dan pengusaha judi berlesen pula.

“Judi adalah haram di sisi agama Islam. Pemilik syarikat dan operator mesin judi yang didapati menjual tiket kepada orang-orang Islam, mereka yang berumur di bawah 21 tahun, atau murid-murid sekolah yang berpakaian seragam akan didenda RM1,000, dan menanggung risiko kemungkinan premis ditutup dan digantung lesen.”

Cara ini semestinya paling efektif. Mereka yang tidak boleh berjudi tidak akan dapat membeli tiket kerana pihak penjual tidak sanggup menjualnya kerana tidak mahu menanggung risiko yang bakal menjejaskan operasi dan keuntungan syarikat.

Cuma, bagaimana pula penerimaannya dalam kalangan golongan “sekular”?

Apakah ini dikira melanggar hak asasi manusia?

Apakah golongan “sekular” akan mendakwa cadangan ini mencampuri urusan bukan Islam dengan menentukan tatacara bisnes mereka dalam menjual tiket judi?

Apakah hujah seperti “ini antara Tuhan dengan dia, orang lain tak perlu masuk campur” ataupun “ini ekstrem” akan digunakan untuk menentang tindakan tersebut?

Apakah mempertahankan kebebasan menjual tiket judi berlesen dan kebebasan berjudi seseorang jauh lebih penting daripada menghalang mereka yang tidak boleh berjudi di sisi agama daripada berjudi?

Berdasarkan apa yang berlaku di Malaysia, dan juga bantahan terhadap keputusan kerajaan Kelantan melarang penjualan tiket loteri berlesen di negeri itu pada 2011, kita sudah boleh mengagak jawapannya.

Persoalannya, apakah ia salah jika ada golongan yang ingin memastikan mereka yang tidak boleh berjudi dihindarkan daripada judi sepenuhnya, sekiranya golongan ini adalah daripada golongan majoriti? - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments