Sunday, 19 February 2017

Diserang gajah semasa buang air


TAIPING 18 Feb. – Tindakan seorang lelaki membuang air kecil berhampiran seekor gajah di sebuah kawasan hutan di Kilometer 20, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, dekat sini membawa padah apabila haiwan itu ‘naik minyak’ sebelum menyerang mang­sa dalam kejadian petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang berhampiran Rancangan Penempatan Setempat (RPS) Banun itu, gajah ber­kenaan menyerang mangsa, Poh Keat Chye, 48, dengan menggunakan belalai sebelum memijak bahagian dada dan belakang lelaki ter­babit.

Berikutan itu, mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan produk kesihatan mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang rusuk kiri dan pendarahan hati.

Abang mangsa, Robert Poh, 60, berkata, ketika kejadian, adiknya dalam perjalanan da­ri Kota Bharu, Kelantan me­nuju ke Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menghantar pengurus cawangan perniagaan produk kesihatannya, Erdis Suparti, 40, pulang ke Indonesia.

Katanya, semasa dalam per­jalanan, adiknya itu memberhentikan kereta di lokasi kejadian untuk membuang air kecil dan ma­suk ke dalam kawasan hutan sejauh kira-kira 20 meter.

"Keat Chye mem­beri­tahu, sema­sa sedang membuang air, dia ada melihat sebuah bongkah batu besar, namun berasa hairan apabila melihat batu tersebut seperti berge­rak-gerak.

"Selepas diamati, Keat Chye mula menyedari bahawa batu itu merupakan seekor gajah. Malangnya dia sudah terlambat untuk melarikan diri apabila haiwan itu bertindak agresif dengan menolaknya menggunakan belalai sebelum memijaknya," kata­nya ketika ditemui di Hospital Taiping di sini hari ini.

Menurut Robert, selepas menyerang dan memijak adiknya di bahagian dada dan belakang badan, gajah tersebut kemudiannya masuk semula ke dalam hutan.

Katanya, kejadian itu disaksikan Erdis dari dalam kereta dan disebabkan panik, wanita tersebut bertindak keluar dari kereta sebelum terjatuh ke dalam longkang berhampiran.

"Insiden itu menyebabkan Erdis cedera parah dengan tulang rusuk kirinya patah.

"Meskipun parah akibat serangan haiwan liar itu, Keat Chye tetap memandu kereta bersama Erdis sejauh kira-kira 50 kilometer untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gerik," ujarnya. - Utusan Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments